SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Seruan boikot bukan penyelesaian jerebu, hanya jejaskan 242,000 keluarga pekebun kecil sawit – MPOB

BANDAR BARU BANGI, 3 November 2026 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menegaskan bahawa seruan memboikot produk berasaskan sawit susulan isu jerebu rentas sempadan bukanlah pendekatan yang tepat atau berkesan untuk menangani masalah pencemaran udara. Sebaliknya, tindakan menyamaratakan keseluruhan industri sawit hanya berisiko menjejaskan kehidupan ratusan ribu keluarga pekebun kecil yang bergantung kepada sektor ini sebagai sumber pendapatan utama.

MPOB mengambil maklum kenyataan yang tular di media sosial oleh selebriti tempatan, Sharifah Sakinah, yang menggesa orang ramai memboikot produk berasaskan sawit sebagai tindak balas terhadap isu jerebu. Walaupun keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar wajar dihargai, MPOB berpandangan bahawa sebarang seruan awam perlu berlandaskan fakta, bukti dan pemahaman menyeluruh tentang punca sebenar sesuatu isu.

“Kita tidak mempertikaikan hak mana-mana individu untuk menyuarakan kebimbangan terhadap alam sekitar. Namun, apabila seruan boikot dibuat tanpa membezakan antara pihak yang melakukan pencemaran dengan keseluruhan industri, kesannya boleh melangkaui sasaran sebenar dan akhirnya membebankan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap masalah tersebut,” kata Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah MPOB.

MPOB menjelaskan bahawa jerebu rentas sempadan merupakan isu pencemaran udara yang kompleks dan memerlukan tindakan bersepadu merangkumi pengesanan punca kebakaran, penguatkuasaan undang-undang, kerjasama serantau serta tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Isu ini tidak boleh diselesaikan dengan menyalahkan atau menghukum keseluruhan industri sawit. Sebaliknya, tindakan perlu disasarkan kepada aktiviti yang menyebabkan pencemaran, tanpa mengira sektor atau pihak yang terlibat dan membantu melakukan penyelesaian.

Di Malaysia, pembakaran terbuka dilarang di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974. Peruntukan ini melarang mana-mana pihak daripada melakukan, membenarkan atau menyebabkan pembakaran terbuka di mana-mana premis dan tanah tanaman.

“Pendirian MPOB jelas. Mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka atau mencemarkan alam sekitar perlu bertanggungjawab dan tertakluk kepada tindakan undang-undang. Prinsip ini perlu terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian. Namun, tindakan terhadap pesalah tidak seharusnya diperluas sehingga menghukum keseluruhan industri yang terdiri daripada pengusaha bertanggungjawab, pekerja dan pekebun kecil,” jelas beliau.

MPOB menegaskan bahawa industri sawit bukan sekadar sektor ekonomi, tetapi merupakan sumber pendapatan dan kelangsungan hidup masyarakat luar bandar.

Lebih 242,000 keluarga pekebun kecil sawit persendirian di seluruh negara mengusahakan kawasan tanaman melebihi 866,000 hektar. Golongan ini merupakan antara kumpulan yang paling terdedah kepada perubahan harga, kos pengeluaran dan permintaan pasaran.

Sebarang kempen yang menjejaskan permintaan terhadap produk sawit berpotensi memberi kesan kepada keseluruhan rantaian nilai, termasuk pendapatan pekebun kecil, aktiviti pengumpulan dan pemprosesan tandan buah segar, operasi kilang serta peluang pekerjaan yang berkaitan.

Menurut MPOB, nilai eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit negara pada tahun 2025 mencecah RM112 bilion, peningkatan sebanyak 2.9 peratus berbanding RM109 bilion pada tahun 2024.

“Di sebalik angka eksport dan prestasi industri, terdapat ratusan ribu keluarga yang bergantung kepada hasil sawit untuk membiayai kehidupan, pendidikan anak-anak dan keperluan harian. Mereka tidak seharusnya menanggung akibat daripada seruan boikot yang tidak menyelesaikan punca sebenar isu alam sekitar,” tambah Datuk Badrul Hisham.

MPOB turut menegaskan bahawa industri sawit Malaysia tertakluk kepada kerangka perundangan, kawal selia dan pensijilan yang merangkumi aspek pengeluaran, pemprosesan serta pematuhan alam sekitar.

Antara langkah penting negara ialah pelaksanaan mandatori Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang diperluas kepada pelbagai kategori pemain industri dalam rantaian bekalan sawit.

Piawaian MSPO 2.0 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2025 memperkukuh keperluan berkaitan kemampanan, termasuk pematuhan undang-undang, pengurusan alam sekitar, kebajikan pekerja, kebolehkesanan dan amalan pengeluaran yang bertanggungjawab.

Malaysia juga terus memperkukuh kredibiliti sistem pensijilan tersebut di peringkat antarabangsa. Pada September 2025, Kesatuan Eropah (EU) mengiktiraf MSPO sebagai piawaian kemampanan yang diyakini dan inklusif serta mempunyai sistem kebolehkesanan digital yang dapat menyokong pematuhan pengusaha kepada Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR). Pengiktirafan ini merupakan pengesahan terhadap usaha Malaysia memperkukuh tadbir urus dan ketelusan rantaian bekalan, bukannya pengecualian daripada keperluan undang-undang EU.

“Kemampanan bukan sekadar slogan atau pengakuan. Ia telah dibuktikan melalui peraturan, pensijilan, audit, pemantauan dan tindakan pembetulan. Malaysia telah membangunkan kerangka MSPO bagi memastikan pengeluaran sawit negara dilaksanakan secara lebih bertanggungjawab dan terus ditambah baik,” jelas beliay.

MPOB menegaskan bahawa mempertahankan industri sawit tidak bermaksud mengetepikan isu alam sekitar. Sebaliknya, industri perlu terus memperkukuh amalan terbaik, meningkatkan produktiviti, mengurangkan impak alam sekitar dan memastikan pematuhan terhadap piawaian yang ditetapkan.

Pendekatan yang adil perlu membezakan antara pengusaha yang mematuhi peraturan dengan pihak yang melakukan kesalahan. Tindakan penguatkuasaan hendaklah berdasarkan bukti dan tertumpu kepada pihak yang bertanggungjawab, bukannya dibuat secara menyeluruh terhadap sesuatu komoditi atau sektor.

Sehubungan itu, MPOB menggalakkan golongan selebriti, pempengaruh dan pemimpin masyarakat memanfaatkan pengaruh masing-masing untuk menyampaikan maklumat yang tepat serta menggalakkan tindakan yang benar-benar membantu menyelesaikan isu alam sekitar.

“Kami mengalu-alukan suara masyarakat yang prihatin terhadap kelestarian alam sekitar. Namun, suara yang berpengaruh juga membawa tanggungjawab untuk memastikan maklumat yang disampaikan tepat dan tidak mengelirukan. Persoalannya bukan sama ada kita perlu melindungi alam sekitar atau menyokong industri sawit. Kita perlu melakukan kedua-duanya,” tegas Datuk Badrul Hisham.

MPOB akan terus komited melaksanakan mandat penyelidikan, pembangunan, kawal selia dan sokongan teknikal bagi memperkukuh daya saing serta kemampanan industri sawit negara, termasuk memastikan pekebun kecil tidak tercicir daripada agenda pembangunan industri.

Melindungi alam sekitar menuntut tindakan terhadap punca pencemaran. Memastikan industri sawit mampan pula menuntut komitmen, pemantauan dan penambahbaikan berterusan. Kedua-duanya bukan pilihan yang saling bercanggah, sebaliknya tanggungjawab bersama.

Printed Publication SPOT-ME Number of Online Services