SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
MPOB perkasa kesedaran pekebun kecil mengenai kawasan HCV, lindungi biodiversiti dan warisan setempat
AYER MOLEK, 12 November 2026 – Kesedaran mengenai kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (High Conservation Value – HCV) dalam kalangan pekebun kecil merupakan aspek penting bagi memastikan aktiviti penanaman sawit dilaksanakan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan biodiversiti, ekosistem semula jadi dan kawasan yang mempunyai kepentingan sosial serta kebudayaan.
Sehubungan itu, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) terus memperkukuh usaha memberi pendedahan dan bimbingan kepada pekebun kecil mengenai kepentingan mengenal pasti, mengurus dan melindungi kawasan HCV sebagai sebahagian daripada pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, latihan dan program kesedaran berkaitan HCV membantu pekebun kecil memahami tanggungjawab mereka dalam memelihara kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti serta kepentingan sosial dan kebudayaan.
“Industri sawit negara perlu terus membuktikan bahawa pembangunan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar boleh bergerak seiring. Melalui MSPO, kita memastikan amalan pengeluaran sawit dilaksanakan secara bertanggungjawab, termasuk dengan memberi perhatian kepada perlindungan kawasan yang mempunyai Nilai Pemuliharaan Tinggi.
“Usaha ini juga penting bagi meningkatkan keyakinan pasaran dan pengguna terhadap komitmen Malaysia dalam membangunkan industri sawit yang mampan,” 1katanya ketika merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI di Ayer Molek, Melaka, semalam.
Beliau berkata, pelaksanaan MSPO bagi pekebun kecil persendirian di bawah seliaan MPOB telah mencapai perkembangan yang memberangsangkan. Sehingga September 2026, sebanyak 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) telah memperoleh pensijilan MSPO, melibatkan lebih 181,000 pekebun kecil persendirian dengan keluasan kebun sebanyak 706,647.06 hektar.
Di Melaka, sebanyak dua SPOC telah memperoleh pensijilan MSPO, melibatkan 2,520 pekebun kecil persendirian dengan keluasan tanaman melebihi 9,600 hektar.
“Pencapaian ini menunjukkan bahawa usaha memperluas pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil perlu disokong dengan bimbingan dan khidmat nasihat secara berterusan. Kita mahu pekebun kecil bukan sahaja memperoleh pensijilan, tetapi turut memahami dan mengamalkan prinsip kemampanan dalam pengurusan kebun masing-masing,” katanya.
Dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada pekebun kecil, MPOB turut melaksanakan Program Kaunter Bergerak dan Hari Bertemu Pelanggan di pelbagai lokasi bagi memudahkan akses kepada maklumat, khidmat nasihat serta bantuan berkaitan industri sawit.
Di Melaka, sebanyak 22 program seumpama ini telah dilaksanakan, melibatkan 744 pekebun kecil sawit. Inisiatif berkenaan membolehkan pekebun kecil mendapatkan khidmat dan maklumat secara lebih dekat, selain mengukuhkan hubungan antara MPOB dengan komuniti setempat.
Seiring dengan usaha tersebut, Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB memainkan peranan penting dalam membimbing pekebun kecil mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP), meningkatkan produktiviti dan mengurus kebun secara lebih cekap.
Bimbingan ini turut menyokong pelaksanaan hala tuju strategik MPOB menerusi PALMS 2030, yang memberi tumpuan kepada lima bidang utama, iaitu Produktiviti (Productivity), Automasi(Automation),Rendah Karbon (Low Carbon), Kebolehpasaran (Marketability) dan Kemampanan (Sustainability).
Melalui pendekatan ini, pekebun kecil digalakkan meningkatkan produktiviti tanpa perluasan kawasan tanaman yang tidak wajar, memanfaatkan teknologi dan mekanisasi ladang serta mengamalkan pengurusan kebun yang lebih cekap dan mampan. Penggunaan teknologi seperti mesin Cantas™ turut membantu meningkatkan kecekapan kerja penuaian, tertakluk kepada kesesuaian penggunaannya di ladang.
Usaha memperkukuh amalan pertanian baik, produktiviti dan pematuhan kepada pensijilan MSPO juga penting dalam meningkatkan daya saing serta kebolehpasaran minyak sawit Malaysia di pasaran domestik dan antarabangsa.
Program Salam Agrikomoditi MADANI tersebut dihadiri kira-kira 200 peserta yang terdiri daripada pekebun kecil sawit persendirian, ahli keluarga dan masyarakat setempat.