SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Pekebun kecil digesa mohon Budi Agri-Komoditi, tampung kos operasi kebun
BANDAR BARU BANGI, 10 Ogos 2026 – Kerajaan menggesa semua pekebun kecil sawit persendirian yang layak supaya segera mengemukakan permohonan BUDI Agri-Komoditi bagi menikmati bantuan tunai RM400 sebulan, sekali gus membantu menampung sebahagian kos operasi kebun yang meningkat akibat ketidaktentuan ekonomi dan kenaikan kos input pertanian.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, berkata bantuan yang disalurkan melalui peruntukan Kementerian Kewangan tersebut merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI untuk memastikan kebajikan pekebun kecil terus terpelihara serta mereka kekal berdaya saing.
“Ramai pekebun kecil yang layak masih belum mengemukakan permohonan. Saya menyeru mereka supaya tidak melepaskan peluang ini kerana bantuan RM400 sebulan mampu meringankan sebahagian kos operasi kebun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulan Ogos Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Ibu Pejabat Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Bandar Baru Bangi, hari ini.
Bantuan Budi Agri-Komoditi yang dilaksanakan melalui peruntukan Kementerian Kewangan dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). Bermula April 2026, nilai bantuan telah dinaikkan kepada RM400 sebulan melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta sebulan.
Pekebun yang memenuhi kriteria kelayakan diseru memohon bantuan Budi Agri Komoditi. Maklumat terperinci berkaitan syarat kelayakan boleh didapati di laman sesawang Budi MADANI, www.budimadani.gov.my.
“Komitmen KPK bukan sekadar merangka dasar, tetapi memastikan setiap inisiatif dapat dimanfaatkan oleh rakyat. Sebab itu kita turun ke lapangan, bertemu pekebun kecil, mendengar sendiri cabaran mereka dan membantu mereka mengakses bantuan yang disediakan Kerajaan,” katanya.
Kata Noraini, menerusi Program Salam Agrikomoditi MADANI yang dilancarkan pada 25 Julai 2026, KPK telah menjelajah sembilan kawasan strategik pekebun kecil di seluruh negara bagi menyampaikan perkhidmatan kerajaan secara terus kepada komuniti agrikomoditi.
Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha menegaskan komitmen MPOB melalui khidmat Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) serta pegawai Unit Pelesenan yang terlibat dalam siri jelajah Salam AgriKomoditi MADANI dengan membuka kaunter perkhidmatan bagi membantu pekebun kecil menyemak status lesen dan permohonan bagi pendaftaran bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
“Kehadiran pegawai MPOB di lapangan membolehkan pelbagai urusan berkaitan pelesenan dan permohonan bantuan diselesaikan dengan lebih cepat, sekali gus mengurangkan beban pekebun kecil,” katanya.
Pada majlis yang sama, Noraini turut menyempurnakan penanaman anak benih Siri Klon Sawit 4 (Clonal Palm Series 4 – CPS4), iaitu bahan tanaman elit terbaharu yang dibangunkan hasil kerjasama strategik antara MPOB dan Johor Plantations Group Berhad.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Badrul Hisham Mohd, berkata CPS4 merupakan klon kultur tisu berprestasi tinggi yang dibangunkan bagi mengatasi masalah kekurangan debunga semula jadi, khususnya di kawasan tanah gambut.
Menurut beliau, CPS4 mampu menghasilkan purata 13 jambak bunga jantan sepokok setahun, berbanding sekitar tujuh jambak bagi klon biasa dan 9.8 jambak bagi bahan tanaman konvensional DxP. Kajian MPOB turut menunjukkan CPS4 berpotensi meningkatkan hasil minyak kepada 6.9 tan sehektar setahun, berbanding 6.2 tan sehektar setahun bagi baka DxP konvensional.
“Teknologi ini berpotensi membantu meningkatkan produktiviti ladang dan seterusnya menambah pendapatan pekebun kecil, sejajar dengan usaha Kerajaan memperkukuh daya saing industri sawit negara,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan pelancaran Bulan Kebangsaan 2026 peringkat KPK serta penyerahan Jalur Gemilang kepada agensi-agensi di bawah kementerian sebagai simbol semangat patriotisme dan kebersamaan warga agrikomoditi.