SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
MPOB Lancar Sistem e-CoPN, perkukuh jaminan bekalan bahan tanaman sawit berkualiti.
KOTA KINABALU, 24 SEPTEMBER 2026 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini melancarkan Sistem Kod Amalan Baik Tapak Semaian untuk Tapak Semaian Sawit (e-CoPN), satu inisiatif digital yang menyediakan rujukan kepada pekebun kecil bagi mendapatkan bahan tanaman berkualiti daripada tapak semaian yang mengamalkan kod amalan baik.
Pelancaran e-CoPN disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, sempena Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026 di Kota Kinabalu, Sabah.
Inisiatif MPOB membawa mesej yang jelas kepada lebih 253,000 pekebun kecil di seluruh negara: transformasi industri sawit bermula dari kebun dan daripada asas yang paling penting, bahan tanaman berkualiti.
Menurut Noraini, e-CoPN merupakan antara inisiatif MPOB yang dilancarkan pada PKPKS 2026 bagi meningkatkan pencapaian pengeluaran hasil sawit pekebun kecil.
“Kita bermula dari asas, memastikan bahan tanaman berkualiti dan amalan di ladang dilaksanakan dengan betul. Daripada asas yang kukuh inilah kita dapat membina industri yang lebih produktif, berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Pelancaran e-CoPN tepat pada masanya ketika industri sawit berdepan tuntutan pasaran antarabangsa yang semakin kompleks, dengan kemampanan, ketelusan dan kebolehjejakan menjadi antara keperluan penting untuk mengekalkan daya saing industri sawit Malaysia.
Dalam konteks ini, Kerajaan terus memperkukuh Sistem Kebolehjejakan Komoditi Malaysia (SKKM) melalui teknologi digital seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWIT™ yang dibangunkan MPOB.
Teknologi berkenaan membantu pekebun kecil membuktikan jejak, asal usul dan ketelusan pengeluaran hasil sawit kepada pembeli, khususnya untuk pasaran antarabangsa.
Bagi memastikan pekebun kecil tidak tercicir daripada tuntutan pasaran global, Noraini berkata Kerajaan akan terus memperkukuh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai antara instrumen penting kemampanan industri sawit negara.
Sehingga kini, hampir 194,000 pekebun kecil persendirian telah memperoleh pensijilan MSPO melalui 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC), melibatkan keluasan tanaman melebihi 723,000 hektar, iaitu hampir 83.2 peratus daripada keseluruhan kawasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di seluruh negara.
Di Sabah sahaja, seramai 30,384 pekebun kecil telah memperoleh pensijilan MSPO, melibatkan keluasan tanaman melebihi 188,000 hektar, bersamaan 97.17 peratus daripada keseluruhan keluasan tanaman sawit milik pekebun kecil persendirian di negeri itu.
“Angka ini bukan sekadar statistik. Ia menunjukkan bahawa pekebun kecil kita juga mampu memenuhi tuntutan pasaran global apabila diberikan sokongan, bimbingan dan ruang yang sewajarnya,” kata beliau.
Kerajaan turut menyediakan RM63.5 juta di bawah Belanjawan 2026 bagi memperkukuh pasaran, mempromosikan pensijilan mampan pekebun kecil dan menangani kempen anti-minyak sawit di peringkat global.
MPOB juga melancarkan penerbitan Standard Operating Procedure (SOP): Guidelines for Pollinating Weevil Census, Fruit Set Counting and Hatch and Carry Technique, yang menyediakan panduan berasaskan kajian saintifik berkaitan proses pendebungaan pokok sawit.
Penerbitan buku panduan ini bertujuan memastikan amalan pendebungaan dilaksanakan dengan lebih berkesan, sekali gus menyokong pembentukan buah dan produktiviti tanaman.
Dalam majlis yang sama, MPOB dan FELDA turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan berkaitan kebolehtindakan iklim, pengurusan sumber air secara bertanggungjawab dan biodiversiti di kawasan perladangan.
Kawasan perladangan FELDA akan dimanfaatkan sebagai tapak penyelidikan bagi menghasilkan data saintifik yang boleh menyokong pembangunan dasar, inovasi teknologi dan amalan pengurusan ladang yang lebih mampan. Hasil penyelidikan ini dijangka memberi manfaat kepada pekebun kecil serta lebih 110,000 peneroka FELDA, khususnya dalam aspek kecekapan penggunaan air, pengurusan karbon dan penyesuaian terhadap cuaca ekstrem.
Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah MPOB dalam ucapan aluan mewakili Pengerusi MPOB turut menegaskan kejayaan teknologi bukan sekadar pada penciptaannya, tetapi apabila teknologi itu sampai ke kebun, diterima pakai dan meningkatkan hasil serta pendapatan pekebun kecil.
“Kejayaan sebenar industri tidak seharusnya hanya diukur berdasarkan jumlah teknologi atau penyelidikan yang dihasilkan, sebaliknya sejauh mana teknologi tersebut diterima pakai di kebun, meningkatkan produktiviti, mengurangkan kos dan akhirnya menambah pendapatan pekebun kecil”.
MPOB memperkenalkan pendekatan baharu menerusi PALMS 2030 yang akan memastikan teknologi dan inovasi yang dibangunkan memberi manfaat secara langsung kepada industri, termasuk pekebun kecil.
PALMS 2030 berteraskan lima fokus utama, iaitu Produktiviti, Automasi, Rendah Karbon, Kebolehpasaran dan Kemampanan, yang digerakkan melalui tiga agenda utama iaitu Mereformasi Institusi, Menerajui Industri dan Menjana Ekonomi. “PALMS 2030 mesti diterjemahkan menjadi manfaat untuk industri dan akhirnya untuk rakyat, termasuk pekebun kecil.” katanya. Selaras dengan pendekatan itu, peranan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB turut diperkasa sebagai penghubung sebenar antara MPOB dengan pekebun kecil.
Badrul Hisham berkata TUNAS perlu menjadi “mata MPOB” untuk melihat masalah, “telinga MPOB” untuk mendengar suara pekebun kecil dan “tangan MPOB” untuk membantu menyelesaikan masalah di lapangan.
“Reformasi industri tidak boleh berlaku hanya dari pejabat. Ia mesti bermula di kebun. Ia mesti dirasai di kebun. Dan hasilnya mesti kembali kepada pekebun.” katanya.
PKPKS 2026 yang bertemakan “Kemampanan. Kebolehjejakan. Ketelusan.”menghimpunkan lebih 500 pekebun kecil sawit dari seluruh negara bagi mendapatkan ilmu, berkongsi pengalaman serta memahami teknologi dan perkembangan terkini industri.
Persidangan dwi-tahunan anjuran MPOB ini turut menampilkan 13 pembentang daripada pihak industri dan penyelidik MPOB yang berkongsi pengetahuan berkaitan produktiviti, teknologi, kelestarian, kebolehjejakan, ketelusan dan pemerkasaan pekebun kecil.
Majlis perasmian PKPKS 2026 turut menyaksikan pelancaran logo rasmi PKPKS serta penyampaian Anugerah Industri Sawit Malaysia 2025/2026 bagi mengiktiraf kecemerlangan pekebun kecil persendirian dan tersusun serta Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).
Pengiktirafan tersebut mencerminkan keupayaan pekebun kecil untuk meningkatkan prestasi, mengurus kebun secara lebih berkesan dan mencipta nilai melalui pengurusan yang berilmu, berdisiplin dan mampan.