SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

MPOB perkukuh inovasi dan keselamatan makanan industri sawit melalui POMREQ 2026

KUCHING, 11 OGOS 2026 – Malaysia terus memperkukuh daya saing industri sawit dengan memberi tumpuan kepada inovasi, keselamatan makanan dan peningkatan standard pengilangan bagi memastikan minyak sawit negara kekal berkualiti serta memenuhi keperluan pasaran antarabangsa.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kemampuan industri sawit Malaysia menangani isu keselamatan makanan berkaitan 3-monochloropropanediol esters (3-MCPDE) dan glycidyl esters (GE) membuktikan keupayaan industri untuk menyesuaikan diri dengan perubahan piawaian dan kehendak pasaran global.

“Industri sawit Malaysia telah menunjukkan keupayaannya untuk bertindak terhadap perubahan keperluan pasaran. Keutamaan kita sekarang ialah memastikan usaha ini diteruskan supaya minyak sawit Malaysia kekal selamat, berkualiti tinggi dan diyakini pengguna di seluruh dunia,” katanya. Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian National Seminar on Palm Oil Milling, Refining, Environment and Quality 2026 (POMREQ 2026) di Kuching hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmi Othman Basha. POMREQ yang dianjurkan setiap dua tahun merupakan antara platform utama MPOB yang menghimpunkan penyelidik, pemain industri, penggubal dasar dan pihak berkepentingan untuk membincangkan perkembangan serta inovasi dalam sektor pengilangan, penapisan, alam sekitar dan kualiti minyak sawit.

Bertemakan “Accelerating Palm Oil Innovations”, POMREQ 2026 memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi baharu, pendigitalan, automasi serta amalan terbaik bagi meningkatkan kecekapan dan memperkukuh daya saing industri sawit negara. Sempena POMREQ 2026, MPOB turut melancarkan Code of Good Milling Practice for Palm Oil Mills (CoPM) Edisi Ketiga serta logo rasmi POMREQ sebagai identiti baharu seminar tersebut.

CoPM Edisi Ketiga dipertingkatkan bagi membantu industri memperkukuh amalan keselamatan makanan, kawalan kualiti, perlindungan alam sekitar dan keselamatan pekerjaan. Kod amalan itu turut memberi penekanan kepada langkah mengurangkan risiko bahan cemar pemprosesan termasuk 3-MCPDE, GE, mineral oil saturated hydrocarbons (MOSH) dan mineral oil aromatic hydrocarbons (MOAH).

Noraini berkata, pengukuhan CoPM mencerminkan pendekatan proaktif MPOB dan industri dalam memastikan standard pengilangan negara terus bergerak seiring dengan perkembangan keperluan pasaran antarabangsa. “CoPM bukan sekadar dokumen teknikal. Ia menjadi panduan kepada industri untuk meningkatkan standard pengilangan, memperkukuh keselamatan makanan serta memastikan minyak sawit Malaysia terus memenuhi keperluan pasaran dari segi kualiti dan kemampanan,” katanya.

Skim Pensijilan CoPM turut diiktiraf di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM) Kementerian Kesihatan Malaysia, sekali gus menyediakan laluan kepada syarikat pengilangan untuk mendapatkan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) serta memperkukuh pematuhan terhadap amalan keselamatan makanan.

Pelancaran logo rasmi POMREQ pula mencerminkan usaha memperkukuh identiti seminar itu sebagai platform utama MPOB dalam menghimpunkan kepakaran, inovasi dan kerjasama strategik untuk kemajuan industri sawit negara.

Dalam pada itu, Noraini berkata perkembangan teknologi perlu dimanfaatkan dengan lebih meluas dalam sektor pengilangan dan penapisan bagi meningkatkan produktiviti serta kecekapan operasi. Penggunaan kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), pendigitalan dan automasi perlu terus dipergiat bagi memastikan industri sawit Malaysia kekal berdaya saing, mampan dan berdaya tahan.

“Transformasi teknologi perlu dipercepatkan. Kita mahu industri sawit Malaysia bukan sekadar mengikuti perubahan teknologi, tetapi mempunyai keupayaan untuk menjadi peneraju inovasi,” katanya. POMREQ 2026 menghimpunkan seramai 400 peserta daripada sektor industri, institusi penyelidikan, universiti dan agensi kerajaan bagi membincangkan perkembangan terkini dalam bidang pengilangan, penapisan, keselamatan makanan, pengurusan biojisim, kemampanan serta inovasi teknologi.

Noraini berkata kerjasama antara kerajaan, MPOB, penyelidik dan pemain industri perlu terus diperkukuh supaya inovasi yang dibangunkan dapat diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar untuk industri. “Matlamat akhirnya ialah sebuah industri sawit yang lebih cekap, lebih berkualiti, mampan dan berdaya saing, serta terus diyakini oleh pengguna dan pasaran antarabangsa,” katanya.

Printed Publication SPOT-ME Number of Online Services