Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2026 MPOB

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Dato’ Sri Huang Tiong Sii, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian meluangkan masa hadir ke Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2026 MPOB. Kehadiran Yang Berhormat Dato’ Sri mencerminkan komitmen dan sokongan padu dalam kemajuan agrikomoditi negara.

2. Saya ingin menyampaikan salam takzim daripada Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Mohamad Helmy Othman Basha yang tidak dapat bersama-sama kita pada hari ini kerana mengikuti program rasmi Yang Berhormat Menteri Perladangan dan Komoditi. Beliau menzahirkan sokongan penuh terhadap penganjuran NAFEC 2026. Harapan MPOB semoga konvensyen ini akan terus berperanan sebagai platform strategik yang menyatukan kepakaran industri, penyelidikan dan teknologi demi kemajuan sektor agrikomoditi negara.

Hadirin sekalian,

  1. Sebagai agensi penyelidikan dan pembangunan serta kawal selia industri sawit negara, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) memikul amanah besar dalam memastikan industri sawit Malaysia terus kekal dinamik, progresif, berdaya tahan di peringkat global. Usaha ini bukan sahaja tertumpu kepada pembangunan teknologi dan inovasi, malahan juga meliputi aspek pematuhan industri, pengukuhan tadbir urus serta pelaksanaan penguatkuasaan yang menyeluruh demi menjamin integriti sektor sawit negara.
  2. MPOB selaku penganjur bersama NAFEC 2026 merakamkan setinggi-tinggi  penghargaan kepada Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) kerana diberi peluang menganjurkan konvensyen yang bukan sahaja menyokong pembangunan di dalam sektor sawit malah juga tertumpu kepada sektor agrikomoditi. Seperti tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, MPOB bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sentiasa berusaha gigih bagi memastikan daya saing industri komoditi terus ditingkatkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
  3. Justeru, semua pihak dalam sektor agrikomoditi perlu berganding bahu untuk meningkatkan kecekapan operasi dan daya tahan industri. Dalam konteks ini, teknologi mekanisasi, automasi dan pendigitalan bukan sekadar inovasi, malah ia adalah strategi pengurusan risiko. Dengan operasi ladang berlandaskan automasi dan berasaskan data, industri mampu mengekalkan produktiviti secara konsisten meskipun berdepan cabaran dalaman seperti kekurangan tenaga pekerja ladang.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian,

  1. MPOB memainkan peranan strategik sebagai peneraju  dalam membangunkan teknologi yang menyokong keseluruhan rantaian nilai daripada peringkat penanaman, penuaian, pengangkutan, pemprosesan, hinggalah pembangunan produk hiliran dan oleokimia. Ini dapat dilihat dengan usaha dilakukan oleh MPOB untuk menyokong penemuan baru di dalam kejuruteraan pertanian seperti penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP) serta latihan pengendalian jentera mekanisasi ladang melalui Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA).
  2. Sehingga kini, MPOB telah mengkomersialkan lebih 200 teknologi yang termasuk inovasi bekaitan mekanisasi dan automasi ladang, bioteknologi dan genomik sawit, perlindungan tanaman berasaskan sains, teknologi pemprosesan dan perkilangan, produk tambah nilai dan oleokimia, serta sistem digital dan platform pengurusan ladang. Semua aktiviti pengkomersilan yang dilaksanakan oleh MPOB secara tidak langsung menyumbang kepada kelangsungan dan kemajuan sektor agrikomoditi di negara ini.
  3. Penyelidikan MPOB kini semakin diperkukuh dengan tumpuan kepada pembangunan teknologi yang menyokong operasi lapangan berasaskan data. Ini termasuklah penggunaan teknologi Internet Benda (IoT) untuk pemantauan nutrien dan kelembapan tanah, dron untuk pemetaan kesihatan pokok, Kecerdasan Buatan (AI) untuk pengesanan awal penyakit seperti Ganoderma, model ramalan hasil menggunakan pembelajaran mesin (machine learning) dan mekanisasi penuaian.Teknologi-teknologi ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah mengawal kualiti pengeluaran yang konsisten, mengoptimumkan penggunaan input serta memperkukuh ketelusan rantaian bekalan.

Hadirin yang dihormati sekalian,

  1. Transformasi teknologi tidak akan berjaya tanpa kerjasama menyeluruh antara semua pihak berkepentingan. MPOB amat menghargai kerjasama strategik dengan semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan, universiti dan pusat penyelidikan, syarikat perladangan, syarikat teknologi, penggiat industri, koperasi dan pekebun kecil. Sebagai sebuah institusi yang berteraskan penyelidikan dan pembangunan, MPOB sentiasa mendukung aspirasi Kerajaan dalam mendukung kemakmuran negara melalui sektor komoditi dan agrikomoditi seperti yang termaktub di dalam Dasar Agrikomoditi Negara (DAKN) dimana Kerajaan mendukung sektor agrikomoditi secara mampan, berdaya saing, dan berteknologi tinggi.
  2. Konvensyen pada hari ini menyediakan ruang penting untuk membincangkan penyelesaian teknologi baharu, inovasi terkini, di samping memperkukuh jaringan profesional serta pertukaran idea dalam merangka strategi nasional bagi memodenkan operasi lapangan merentas seluruh sektor agrokomoditi. Oleh itu, saya berharap agar semua peserta konvensyen menggunakan peluang ini untuk berbincang serta bertukar pandangan bagi menetapkan sasaran dan aras baharu sektor kejuruteraan agrikomoditi agar kekal relevan dalam pembangunan kepada negara dan rakyat.
  3. Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur bersama iaitu Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), rakan strategik, pakar industri, ahli-ahli akademik, pembentang dan semua yang terlibat dalam menjayakan NAFEC 2026 MPOB.
  4. Semoga perbincangan sepanjang NAFEC 2026 MPOB memberi impak langsung kepada pembangunan industri sawit dan sektor agrikomoditi negara.

Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services