Teks Ucapan Pengerusi MPOB: Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr.
Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi yang sudi hadir bagi menyempurnakan perasmian Program Pemindahan Teknologi Sawit atau Transfer of Technology (TOT) MPOB bagi tahun 2026 pada hari ini.

2. Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada dif-dif jemputan, penggiat industri, para usahawan dan semua yang sudi hadir ke TOT MPOB 2026
Hadirin sekalian,

3. Sebagai agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), MPOB diberi tanggungjawab bagi membangun dan memajukan industri sawit negara. Peranan ini dilaksanakan melalui aktiviti utama MPOB iaitu bidang penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan (R&D&C) yang menghasilkan teknologi dan inovasi baharu dalam industri sawit. Inovasi yang dibangunkan oleh Pegawai Penyelidik MPOB ditawarkan melalui pengkomersialan kepada pihak industri dan syarikat tempatan yang memberi impak positif kepada kecekapan pengeluaran, peningkatan kualiti produk dan memperluaskan kegunaan minyak sawit dalam sektor makanan dan bukan makanan. 

4. Sehingga kini, MPOB telah mencapai kejayaan memberangsangkan dengan pengkomersialan lebih 240 teknologi dan inovasi meliputi semua aspek sawit yang memberi manfaat kepada kemajuan industri negara.

Tuan-tuan dan Puan-puan

5. Penyelidikan MPOB merangkumi keseluruhan rantaian industri sawit, bermula penghasilan anak benih sawit berkualiti hingga pelbagai aplikasi penggunaan produk sawit. Kerjasama penyelidikan MPOB dengan pihak industri telah memberi peluang kepada pembangunan kepakaran, pengumpulan data jangka panjang serta pembentukan rangkaian kerjasama strategik antara penyelidik, industri dan pihak berkepentingan.

6. Selaras dengan mandat penubuhan MPOB yang memberi fokus penting terhadap aktiviti penyelidikan bagi memajukan industri sawit Malaysia, maka setiap projek penyelidikan perlu memenuhi kehendak dan keperluan industri. Sehubungan itu, MPOB membuat penilaian atau kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sesuatu projek penyelidikan sebelum ia boleh dilaksanakan. Jawatankuasa Penasihat Program (Programme Advisory Committee – PAC) yang terdiri daripada pakar industri minyak dan lemak dunia, serta pemegang taruh industri sawit yang berperanan untuk meneliti dan menilai cadangan projek penyelidikan MPOB. Untuk makluman semua, pada tahun ini, sejumlah 50 projek baharu telah dinilai oleh Jawatankuasa PAC dengan 49 daripadanya telah diluluskan untuk dilaksanakan bermula tahun ini.

7. MPOB juga secara konsisten mengadakan proses libat urus (engagement) dengan pihak persatuan dalam industri sawit dan pihak berkepentingan untuk mendapat maklum balas khususnya berkaitan keutamaan aktiviti penyelidikan yang memberi impak kepada industri sawit Malaysia. Penyelidikan yang dilaksanakan juga perlu mengambil kira potensi pengkomersialan supaya suatu nilai ekonomi dapat dijana melalui hasil penyelidikan tersebut. 

Hadirin sekalian,

8. MPOB telah membangunkan ekosistem pengkomersialan teknologi yang memberi fokus dan keutamaan dengan memastikan teknologi dan inovasi yang ditawarkan telah melalui pelbagai proses penilaian sewajarnya. Teknologi yang diperkenalkan untuk pengkomersialan kepada penggiat industri disokong dengan bukti atau data saintifik melalui pengujian pada skala kecil di makmal dan loji rintis. Seterusnya, kajian lanjut pada skala komersial berserta analisis ekonomi bagi perolehan data yang menyokong pengkomersialan teknologi oleh pihak industri, syarikat tempatan dan pihak yang berminat.

9. Program Pemindahan Teknologi Sawit atau Transfer of Technology (TOT) MPOB yang dianjurkan pada setiap tahun merupakan pendekatan strategik MPOB untuk memperkenalkan teknologi baharu untuk pengkomersialan. Pada tahun 2026, sebanyak sembilan teknologi baharu diperkenalkan untuk pengkomersialan. Antara teknologi yang ditawarkan termasuk Sistem Pengimejan Spektral dan Pengimbasan Automatik Tandan Buah Segar Sawit (TBS), formulasi Daging Analog Berasaskan Tumbuhan, Minyak Asas Pelincir Berkelikatan Tinggi, Bendalir Penyejuk bagi Pusat Data, dan teknologi-teknologi lain yang berpotensi untuk pengkomersialan.

10. Pada majlis ini juga, MPOB akan melancarkan produk formulasi baja MPOB F7 yang merupakan baja pelepasan terkawal (controlledrelease fertiliser – CRF) yang direka khusus bagi memenuhi keperluan tapak semaian sawit.

Hadirin sekalian,

11. Teknologi MPOB yang ditawarkan untuk pengkomersialan adalah dilindungi dengan hak harta intelek yang berdaftar dengan Perbadanan
Harta Intelek Malaysia (MyIPO). Hak harta intelek (IP) antaranya meliputi paten, reka bentuk perindustrian, cap dagangan dan hak cipta. IP adalah penting bagi memastikan perlindungan dan jaminan hak kepada pencipta (inventors) dan pihak yang mengkomersialkan teknologi. Untuk makluman semua, Dasar Harta Intelek MPOB yang baharu telah diluluskan oleh Yang Berhormat Menteri baru-baru ini. Dasar ini bertujuan memperkukuh tata kelola pengurusan aktiviti pengkomersialan teknologi MPOB bagi melindungi kepentingan semua pihak yang terlibat seperti penyelidik dan usahawan. Ini selaras dengan dasar kerajaan bagi
penyelidikan, pembangunan, inovasi, pengkomersialan, dan keusahawanan (RDICE) negara.

12. Saya dimaklumkan pada sesi petang, pihak MyIPO turut memberi taklimat berkenaan kepentingan melindungi harta intelek dalam pengkomersialan teknologi. Pada sesi petang ini juga, MPOB juga telah mengatur taklimat berkenaan dana tersedia oleh kerajaan kepada para usahawan yang akan disampaikan oleh MOSTI dan MTDC. Oleh itu, saya menyeru semua yang hadir untuk terus mengikuti sesi pada petang ini bagi mendapatkan penerangan lebih lanjut daripada ahli panel undangan.

Hadirin yang dihormati,

13. Sempena TOT MPOB 2026, MPOB juga mengatur beberapa pameran dan demonstrasi yang diadakan khas kepada para pengunjung TOT seperti pameran teknologi, pameran jentera, demonstrasi mekanisasi ladang, sesi uji rasa produk makanan berasaskan sawit, serta demonstrasi penggunaan produk kosmetik berasaskan sawit. Justeru, saya berharap semua peserta TOT MPOB 2026 mengambil peluang untuk mengunjungi pameran yang diadakan serta berinteraksi dengan inventors teknologi bagi mendapatkan maklumat dan maklum balas terperinci teknologi dan produk yang dipamerkan.

14. Saya juga dimaklumkan jawatankuasa penganjur TOT MPOB 2026 turut menyediakan cabutan bertuah yang menawarkan hadiah menarik antaranya pemotong sawit bermotor atau Cantaz™, skuter elektrik, gadget elektronik, barangan elektrik dan hadiah-hadiah lain yang disediakan oleh rakan strategik MPOB. Oleh itu, saya berharap semua peserta dapat mengikuti program TOT sehingga ke petang ini supaya tidak terlepas peluang memenangi cabutan bertuah 15. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan setinggitinggi penghargaan atas kesudian Yang Berhormat Datuk Seri Dr. NorainiAhmad, Menteri Perladangan dan Komoditi bagi merasmikan TOT MPOB 2026.

16. Saya turut mengucapkan terima kasih kepada rakan strategik TOT MPOB 2026, jawatankuasa penganjur, dan semua pihak yang
memberikan sokongan dan kerjasama bagi menjayakan penganjuran program ini.
Sekian, terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services