SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
MPOB perkenal sembilan (9) teknologi baharu pacu daya saing industri sawit
BANDAR BARU BANGI, 30 Jun 2026 – Industri sawit Malaysia terus melakar satu (1) lagi pencapaian penting apabila Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melancarkan sembilan (9) teknologi baharu sebagai pemangkin memacu pengkomersialan dan penciptaan nilai tambah industri sawit3.
MPOB memperkenalkan teknologi baharu untuk pengkomersialan melalui penganjuran acara tahunan, Program Pemindahan Teknologi Sawit MPOB (TOT MPOB 2026). Teknologi dan inovasi baharu yang ditawarkan untuk pengkomersialan membuktikan bahawa minyak sawit bukan lagi sekadar digunakan sebagai minyak masak, malah kini menjadi bahan asas kepada pembangunan produk makanan masa hadapan, nutraseutikal, oleokimia bernilai tinggi serta teknologi penyejukan pusat data. Perkembangan ini sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi sawit di peringkat global.
Majlis perasmian TOT MPOB 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang menekankan kepentingan inovasi sebagai pemacu utama kepada transformasi industri sawit negara.
“Masa depan industri sawit tidak lagi bergantung kepada pengeluaran komoditi semata-mata. Nilai sebenar industri ini terletak pada keupayaan kita mencipta teknologi, menghasilkan produk bernilai tinggi dan mempercepatkan pengkomersialan inovasi tempatan yang mampu bersaing di peringkat global,” katanya.
Menurutnya, pembangunan teknologi seperti SawitSCAN, sistem pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pengimejan yang mampu mengenal pasti tahap kematangan tandan buah segar (TBS) secara automatik, tepat dan pantas berupaya meningkatkan kualiti buah sawit yang diproses di kilang.
“Penggunaan teknologi berpotensi mengurangkan kebergantungan kepada pemeriksaan manual yang subjektif, mempercepatkan proses penggredan buah, meningkatkan kecekapan operasi kilang serta menyumbang kepada peningkatan produktiviti industri sawit negara.”
Selain itu, pelancaran MPOB F7 iaitu baja yang diformulasi secara pelepasan terkawal (controlled-release fertiliser) bersalut polimer tumbuhan berupaya mengurangkan kehilangan nutrien, meningkatkan kecekapan penggunaan baja serta mengurangkan impak terhadap alam sekitar. MPOB sentiasa proaktif dalam mendepani keperluan semasa industri sawit sejajar dengan agenda kemampanan sektor sawit. MPOB F7 telah dikomersialkan oleh Smart Fert Sdn. Bhd.
Dalam sektor makanan dan kesihatan pula, MPOB memperkenalkan tiga (3) teknologi baharu yang membuka ruang kepada pembangunan makanan generasi baharu, iaitu Daging Analog Berasaskan Sawit, Serat Diet Sawit, serta teknologi peningkatan penyerapan vitamin E tokotrienol ke dalam tubuh manusia. Inovasi ini berpotensi memenuhi permintaan pengguna global terhadap makanan berfungsi, pemakanan alternatif dan produk kesihatan bernilai tinggi.
Pelancaran inovasi Sawit EcoTherm, bendalir penyejuk tidak beraliran elektrik berasaskan sawit (palm-based non-conductive coolant) menawarkan alternatif mampan untuk sistem penyejukan infrastruktur berprestasi tinggi seperti pusat data. Teknologi ini bukan sahaja membantu meningkatkan kecekapan tenaga, malah berpotensi mengurangkan penggunaan air yang tinggi dalam sistem penyejukan konvensional pusat data bagi menyokong perkembangan pesat teknologi digital negara.
TOT MPOB 2026 turut mengetengahkan pelbagai inovasi strategik yang mencerminkan kemajuan penyelidikan dan pembangunan (R&D) MPOB dalam membangunkan penyelesaian bernilai tinggi dalam sektor sawit. Antaranya, minyak pemprosesan getah berasaskan sawit sebagai alternatif yang lebih mampan kepada industri getah, minyak asas pelincir berkelikatan tinggi (high-viscosity lubricant base oil) untuk aplikasi perindustrian berprestasi tinggi, serta teknologi pengeluaran Monopropilena Glikol (MPG) berasaskan bio berskala besar, yang membuka peluang kepada penghasilan bahan kimia hijau bernilai tinggi daripada sumber boleh diperbaharui.
Dalam aspek perlindungan tumbuhan pula, MPOB terus memperkukuh daya tahan industri melalui pembangunan bahan tanaman piawai bagi program saringan kerintangan penyakit Ganoderma, sekali gus membantu mempercepat usaha pembiakbakaan varieti sawit yang lebih tahan penyakit, meningkatkan produktiviti ladang dan membendung kerugian ekonomi akibat penyakit reput pangkal batang yang menjadi antara ancaman terbesar kepada industri sawit negara.
Pada majlis yang sama, Datuk Seri Noraini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) dan Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPOB dengan MySpatial Sdn. Bhd. bagi teknologi Sawit Geo-Agro Solutions, Nanka Sdn. Bhd. bagi pengkomersilan Mayonis Vegan Berasaskan Sawit, serta HS Food Sdn. Bhd. bagi Tisu Adipos Analog Berasaskan Sawit.
Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata kejayaan sesuatu teknologi tidak diukur berdasarkan bilangan paten yang didaftarkan, tetapi sejauh mana teknologi tersebut dapat dimanfaatkan oleh industri serta memberi impak kepada ekonomi negara.
“MPOB bukan sekadar menghasilkan inovasi di makmal. Tanggungjawab kami adalah memastikan setiap teknologi berjaya dipindahkan kepada industri, dikomersialkan dan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat, usahawan, pelabur serta memperkukuh daya saing industri sawit Malaysia di persada dunia,” katanya.
Beliau berkata, setiap teknologi yang diperkenalkan melalui Program TOT MPOB telah melalui proses penyelidikan, pengesahan saintifik serta penilaian ekonomi yang menyeluruh bagi memastikan ia memenuhi keperluan industri dan mempunyai potensi pasaran yang tinggi.
Sehingga kini, MPOB telah membangunkan 364 teknologi, dengan 241 daripadanya berjaya dikomersialkan, sekali gus membuktikan keupayaan penyelidikan tempatan dalam menghasilkan inovasi yang mampu diterjemahkan kepada aplikasi komersial.
Tegasnya, MPOB kini memperkukuh ekosistem pengkomersialan melalui Dasar Harta Intelek yang baharu diluluskan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), bagi melindungi hasil inovasi tempatan serta meningkatkan keyakinan rakan industri untuk melabur dalam teknologi sawit.
Program TOT MPOB 2026 menghimpunkan lebih 500 peserta daripada kalangan penggiat industri, usahawan, penyelidik, pelabur serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Program ini turut menampilkan sesi padanan perniagaan, demonstrasi teknologi, uji rasa produk berasaskan sawit serta taklimat peluang pembiayaan pengkomersialan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).
Program ini turut mendapat sokongan dewan perniagaan termasuk Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kelantan (DPMM Kelantan) dan Kuala Lumpur Malay Chamber of Commerce (KLMCC).
Sejajar dengan pelancaran teknologi baharu, MPOB terus memperkukuh peranannya sebagai peneraju penyelidikan, pembangunan dan inovasi (R&D&I) sawit negara. Pencapaian ini membuktikan bahawa minyak sawit bukan sahaja menyumbang kepada keselamatan makanan global, malah berpotensi menjadi asas kepada pembangunan teknologi hijau, ekonomi digital dan industri bernilai tinggi yang memacu pertumbuhan ekonomi negara pada masa hadapan.