SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

RM4.2 juta perkukuh kemudahan jalan untuk pekebun kecil dan penduduk Kemabong

TENOM, 25 September 2026 – Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah meluluskan 14 projek Jalan Ladang Pekebun Kecil di daerah Tenom, Kemabong dan Keningau sebagai projek tambahan dengan peruntukan berjumlah RM3.9 juta.

Kerajaan turut meluluskan RM300,000 bagi melebarkan jalan konkrit yang menghubungkan Kampung Kemabong Lama dengan Kampung Kemabong Baru. Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kemudahan jalan yang baik penting untuk memudahkan pergerakan pekebun kecil ke kebun, mempercepatkan urusan membawa keluar hasil tuaian serta menjadikan perjalanan harian penduduk lebih selamat.

“Apabila urusan ke kebun menjadi lebih mudah, hasil dapat dibawa keluar dengan lebih cepat. Kemudahan yang lebih baik juga boleh membantu pekebun kecil meningkatkan pendapatan,” katanya ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Warga Kampung Kemabong Lama, di sini hari ini.

Pada program tersebut, Kementerian bersama-sama MPOB turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM7,300 kepada Sekolah Kebangsaan Kemabong bagi membangunkan Kelas Interaksi Digital Sekolah atau KIDS. Sumbangan pakaian sekolah turut disampaikan kepada 50 murid yang memerlukan.

Dalam pada itu, Noraini berkata, penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan atau KPSM terus membuka ruang kepada pekebun kecil untuk mengurangkan kos, mendapatkan harga yang lebih baik bagi hasil mereka dan membangunkan sumber pendapatan baharu.

Sebanyak 29 KPSM telah ditubuhkan di Sabah dengan penglibatan 2,943 peserta. Di Tenom, KPSM Kemabong Tenom Berhad mempunyai 111 ahli dan merupakan KPSM pertama yang berjaya membuka stesen minyak sendiri.

Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan bahawa koperasi yang diurus dengan baik mampu membawa manfaat ekonomi yang lebih luas kepada ahlinya dan masyarakat setempat. MPOB juga akan terus membantu pekebun kecil melalui pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit atau TUNAS, khususnya dalam aspek penjagaan kebun, peningkatan hasil, penggunaan teknologi dan permohonan bantuan.

Pekebun kecil digalakkan mengemas kini maklumat dengan MPOB, mendapatkan lesen kebun kecil serta menyertai Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC bagi memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia atau MSPO.

Bagi pekebun kecil yang layak, khidmat nasihat, lesen kebun kecil dan bantuan pensijilan MSPO disediakan tanpa bayaran.

Program berkenaan turut menyaksikan penyerahan Surau Al-Barakah MPOB kepada komuniti Kampung Kemabong Lama. Surau yang dibangunkan dengan kos RM145,000 itu dibiayai melalui sumbangan peribadi dan derma ikhlas warga kerja MPOB dari seluruh negara tanpa menggunakan peruntukan rasmi MPOB.

Noraini berharap surau tersebut bukan sahaja dimakmurkan sebagai tempat ibadah, malah menjadi ruang masyarakat bertemu, anak-anak menimba ilmu dan hubungan sesama penduduk dipererat.

 

 

Printed Publication SPOT-ME Number of Online Services