SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera

Lebih 2,650 sertai Larian Sawit Merdeka 2026 

PARIT SULONG, 30 Ogos 2026 – Lebih  2,650 peserta menyertai Larian Sawit Hari Merdeka 2026 yang diadakan di Pekan Seri Medan, Parit Sulong, menjadikan acara larian santai sejauh lima kilometer itu bukan sekadar sambutan Bulan Kebangsaan, malah platform untuk mendekatkan sektor agrikomoditi dengan rakyat.

Acara anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB),  bertemakan “Sawit Memacu Kemakmuran Negara” dilaksanakan serentak dengan Program Kampung Angkat MADANI KPK, melibatkan pelbagai agensi dan rakan strategik di bawah kementerian.

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi telah merasmikan acara perlepasan peserta yang turut bersama masyarakat setempat  dalam memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan menerusi aktiviti sukan, komuniti dan pendidikan agrikomoditi.

Turut hadir, Datuk Badrul Hisham Mohd, Ketua Pengarah MPOB, pengurusan tertinggi dan pegawai-pegawai kanan KPK, serta agensi-agensi di bawah Kementerian tersebut.  

Badrul Hisham berkata penganjuran Larian Sawit Hari Merdeka membawa mesej yang lebih besar, melalui aktiviti riadah dan memastikan masyarakat dapat  memahami sumbangan industri sawit kepada kehidupan rakyat serta kemakmuran negara.

“Kita mahu membawa sawit lebih dekat kepada rakyat dan menunjukkan bahawa di sebalik industri ini ada pekebun kecil, pekerja, keluarga dan komuniti yang bergantung kepada rantaian nilai sawit,” kata Ketua Pengarah MPOB tersebut.

Beliau menambah, penyertaan yang begitu memberangsangkan menunjukkan bahawa pendekatan yang menggabungkan sukan, komuniti, pendidikan dan patriotisme mampu menjadi medium berkesan untuk mendekatkan sektor agrikomoditi dengan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kita mahu anak-anak muda melihat sawit sebagai industri moden yang berkembang melalui teknologi, inovasi dan amalan kemampanan. Pada masa yang sama, mereka perlu memahami bahawa industri sawit memberi sumbangan besar kepada ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Bagi menjadikan pengalaman peserta lebih interaktif, MPOB bersama agensi-agensi di bawah KPK menyediakan beberapa hentian interaktif (pit stop) sepanjang laluan larian yang menggabungkan elemen pendidikan, kemampanan dan kreativiti.

Program tersebut turut disokong oleh pelbagai rakan strategik sektor agrikomoditi termasuk Lembaga Getah Malaysia (LGM), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB), Lembaga Koko Malaysia (LKM), Lembaga Lada Malaysia (MPB), Lembaga Kenf dan Tembakau Negara (LKTN), Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Majlis Getah Malaysia (MRC), Majlis Kayu-kayan Malaysia (MTC), Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), RISDA Holdings Sdn. Bhd., Majlis Pensijilan Kayu Malaysia (MTCC) dan SD Guthrie Berhad.

Pendekatan ini memberi peluang kepada peserta, khususnya keluarga dan generasi muda untuk mengenali dengan lebih dekat usaha berkaitan inovasi sawit, pensijilan mampan, pemuliharaan alam sekitar serta kepelbagaian produk berasaskan komoditi negara.

Antara aktiviti interaktif yang mendapat perhatian peserta termasuk Lidi Sawit Challenge, pertandingan teka berat tandan sawit, gubahan kreatif berasaskan komoditi, demonstrasi masakan, pertandingan mewarna dan Sukan Rakyat.

Program ini turut menjadi sebahagian daripada pendekatan Salam Agrikomoditi dan Program Kampung Angkat MADANI KPK yang memberi penekanan kepada usaha kementerian dan agensi untuk turun padang, mendengar keperluan masyarakat serta membawa maklumat, perkhidmatan dan khidmat nasihat lebih dekat kepada komuniti.

Pendekatan tersebut mencerminkan usaha KPK untuk memastikan agensi di bawah kementerian bergerak sebagai satu pasukan bagi membawa manfaat sektor agrikomoditi secara lebih langsung kepada rakyat.

Selain larian, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti Karnival Kampung Angkat MADANI termasuk jualan rahmah, sukan rakyat, pertandingan gubahan berasaskan agrikomoditi, demonstrasi masakan, pocket talk, pameran serta kaunter perkhidmatan agensi Kerajaan.

Penganjuran Larian Sawit Hari Merdeka 2026 mencerminkan komitmen berterusan KPK untuk merapatkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat melalui pendekatan yang lebih santai, inklusif dan mesra rakyat. Industri sawit bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negara, malah mempunyai hubungan langsung dengan kehidupan dan kesejahteraan masyarakat.

“Kita mahu rakyat bukan sahaja tahu bahawa sawit penting kepada ekonomi negara, tetapi turut memahami sumbangannya kepada kehidupan seharian. Sawit memacu kemakmuran negara kerana di belakang industri ini ada rakyat, komuniti dan masa depan generasi kita,” ujar Datuk Badrul Hisham.

Printed Publication SPOT-ME Number of Online Services