INPUT SIARAN MEDIA

MPOB–SKM meterai kerjasama strategik perkasa pekebun kecil sawit melalui koperasi

KUALA LUMPUR, 23 April 2026 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh pembangunan pekebun kecil sawit melalui pemerkasaan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) sebagai pemacu utama ekonomi komuniti luar bandar.

Kerjasama ini hadir pada ketika industri sawit terus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, dengan lebih 242,000 keluarga pekebun kecil persendirian terlibat dalam sektor sawit, yang merangkumi kawasan melebihi 866,000 hektar di seluruh Malaysia. Pendekatan koperasi dilihat sebagai model inklusif yang mampu memperkukuh kedudukan pekebun kecil dalam rantaian nilai industri.

Sehingga kini, sebanyak 71 KPSM telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keahlian seramai 9,051 pekebun kecil. Pada tahun 2025 sahaja, KPSM merekodkan jualan tandan buah segar (TBS) sebanyak 453,323 tan dengan nilai sekitar RM400 juta. Pendekatan jualan secara berkelompok melalui koperasi turut menyumbang kepada peningkatan harga TBS antara 15 peratus hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding saluran konvensional.

Sejak 2012, KPSM telah merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 2.92 juta tan TBS, dengan keuntungan yang diagihkan semula kepada ahli melalui dividen dan rebat, sekali gus memperkukuh kesejahteraan ekonomi pekebun kecil.

Melalui MoU ini, MPOB akan terus menggalakkan penubuhan dan penyertaan pekebun kecil dalam koperasi serta menyediakan sokongan teknikal dan pemindahan teknologi. SKM pula akan memperkukuh kesedaran berkoperasi, menyediakan latihan, serta memudahcara pembiayaan dan penubuhan koperasi dalam kalangan pekebun kecil sawit.

Inisiatif ini dijangka meningkatkan pematuhan terhadap standard kemampanan seperti Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah, serta membuka peluang baharu dalam aktiviti hiliran bernilai tambah.

Kerjasama ini juga selaras dengan agenda nasional dalam memperkasa pembangunan luar bandar secara inklusif, meningkatkan sumbangan sektor sawit kepada ekonomi negara, serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global dalam industri minyak sawit mampan.

MoU ini menandakan komitmen berterusan MPOB dan SKM dalam membangunkan ekosistem koperasi yang berdaya saing, inklusif dan mampan demi kesejahteraan pekebun kecil serta kemakmuran industri sawit negara.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services