SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
MPOB lancar GeoSAWITTM, perkukuh ketelusan dan kebolehjejakan industri sawit Malaysia
KUALA LUMPUR, 6 Oktober 2026 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) hari ini melancarkan Portal GeoSAWITTM, sebuah platform geospatial nasional yang memetakan dan mengesahkan lokasi serta sempadan tanaman sawit di seluruh negara, meliputi ladang estet dan pekebun kecil.
Pelancaran GeoSAWITTM pada Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 di Kuala Lumpur menjadi satu lagi langkah penting dalam usaha mendigitalkan rantaian industri sawit serta memperkukuh ketelusan, kebolehjejakan dan tadbir urus industri berasaskan data.
Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, pelaksanaan sistem kebolehjejakan seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan GeoSAWITTM perlu dilihat bukan sekadar sebagai keperluan pematuhan atau usaha membina kredibiliti, tetapi juga sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan minyak sawit Malaysia di pasaran global.
“Kita mahu minyak sawit Malaysia dikenali bukan sahaja kerana kualiti yang tinggi, tetapi juga cara industri sawit Malaysia yang diurus secara bertanggungjawab dan telus,” katanya ketika merasmikan Majlis AISM 2025/2026.
GeoSAWITTM membolehkan MPOB memperoleh data yang lebih tepat mengenai landskap tanaman sawit negara yang seterusnya boleh dimanfaatkan bagi pemantauan penggunaan tanah, penilaian risiko serta menyokong keperluan pematuhan pasaran.
Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata ketepatan dan kebolehpercayaan data amat penting dalam memperkukuh sistem pemantauan dan kebolehjejakan industri.
“Data yang lebih tepat membawa kepada keputusan yang lebih baik. Inilah yang akan membantu kita memperkukuh ketelusan, kebolehjejakan dan tadbir urus industri berasaskan data, sekali gus menyokong usaha memastikan minyak sawit Malaysia terus diyakini dan berdaya saing di pasaran global,” katanya.
Beliau berkata inisiatif digital seperti GeoSAWITTM turut membantu industri, khususnya pekebun kecil dalam memenuhi keperluan pasaran antarabangsa yang semakin menekankan aspek ketelusan, kebolehjejakan dan kemampanan.
Pelancaran GeoSAWITTM turut melengkapi SIMS, yang merupakan sebahagian daripada pendekatan digital MPOB bagi memperkukuh sistem kebolehjejakan rantaian bekalan sawit negara.
Pada majlis yang sama, YB Menteri turut menyampaikan Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) 2025/2026 kepada penggiat industri yang menunjukkan kecemerlangan dalam pelbagai aspek termasuk produktiviti, teknologi dan automasi, pematuhan peraturan, pasaran produk serta kemampanan.
Sebanyak 36 pemenang daripada 12 kategori menerima pengiktirafan melibatkan sektor huluan, pertengahan dan hiliran, selain Anugerah Khas Rakan Strategik dan Anugerah Pengeksport Produk Sawit.
AISM yang diadakan setiap dua tahun merupakan platform pengiktirafan Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan MPOB kepada penggiat industri yang menunjukkan kecemerlangan di sepanjang rantaian industri sawit.
Menurut Menteri KPK, kecemerlangan industri sawit tidak lagi boleh diukur berdasarkan produktiviti atau jumlah pengeluaran semata-mata. Sebaliknya industri ini perlu dipacu oleh teknologi, inovasi, kecekapan pengurusan, tadbir urus dan kemampanan.
Beliau berkata industri sawit Malaysia perlu terus bergerak daripada sekadar menghasilkan komoditi kepada penghasilan produk bernilai tinggi, di samping memanfaatkan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan bagi meningkatkan kecekapan operasi dan nilai ekonomi industri.
“Semakin tinggi nilai yang dapat kita hasilkan daripada setiap tan minyak sawit mentah, semakin tinggi nilai ekonomi yang dapat kita sumbangkan kepada negara, seterusnya dan memberi manfaat yang lebih kepada rakyat,” katanya.
Majlis AISM 2025/2026 turut mencerminkan komitmen berterusan MPOB dan industri untuk memastikan minyak sawit Malaysia kekal berkualiti, mampan, berdaya saing dan diyakini di pasaran global.