MAJLIS ANUGERAH INDUSTRI SAWIT MALAYSIA (AISM)

Para Penggiat Industri Sawit,

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

  1. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian hadir untuk menyempurnakan Majlis Anugerah Industri Sawit Malaysia atau AISM 2025/2026.
  2. Saya juga mengalu-alukan kehadiran wakil-wakil industri, pemenang Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM), rakan strategik dan semua tetamu yang hadir pada majlis ini bagi meraikan pencapaian dan kecemerlangan penggiat industri sawit Malaysia.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sejarah Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) telah bermula sejak 31 tahun lalu, iaitu pada tahun 1995. Pada permulaannya, hanya pengiktirafan kepada kilang kelapa sawit yang menunjukkan kecemerlangan dalam pencapaian Kadar Perahan Minyak atau Oil Extraction Rate (OER). Sejajar dengan hasrat untuk mengiktiraf peranan semua pihak yang menyumbang kepada peningkatan prestasi industri, AISM telah diperluaskan meliputi semua sektor di sepanjang rantaian industri sawit negara. Untuk makluman semua, Anugerah Industri Sawit Malaysia ini diadakan setiap 2 tahun sekali.
  1. Dalam konteks ini, pencapaian atau kecemerlangan industri sawit tidak lagi diukur berdasarkan peningkatan produktiviti atau jumlah pengeluaran semata-mata. Pencapaian prestasi industri dinilai meliputi pelbagai penunjuk penting, antaranya penggunaan teknologi, inovasi dan automasi yang menyumbang kepada kecekapan operasi dan kualiti produk sawit, pematuhan peraturan, skim pensijilan dan kemampanan. 

  2. Operasi industri sawit turut dipengaruhi landskap pasaran global minyak dan lemak yang kini semakin kompleks dan mencabar. Pasaran antarabangsa menetapkan penanda aras yang jauh lebih ketat, khususnya dalam aspek pematuhan alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG), kebolehjejakan (traceability), dan jaminan keselamatan produk. Bagi mendepani cabaran geopolitik dan permintaan ini, industri sawit Malaysia tiada pilihan selain bertindak dinamik dan bergerak selangkah di hadapan keperluan pasaran agar kita kekal berdaya saing.

    Hadirin Sekalian,
  1. Atas kesedaran inilah, malam ini kita bukan sekadar meraikan kecemerlangan industri, tetapi turut menyaksikan satu lagi langkah penting dalam usaha mendigitalkan rantaian industri sawit kita. Pada majlis ini, Yang Berhormat Menteri akan melancarkan Portal GeoSAWIT, sebuah platform geospatial nasional yang dibangunkan oleh MPOB untuk memetakan dan mengesahkan lokasi serta sempadan tanaman sawit di seluruh negara, meliputi ladang estet dan pekebun kecil.
  1. Apa yang menarik tentang GeoSAWIT ialah kita bukan lagi sekadar bertanya “di mana sawit ditanam?”, tetapi kita kini mempunyai data yang lebih tepat untuk mengetahui, memahami dan memantau landskap tanaman sawit negara. Data ini boleh dimanfaatkan untuk pemantauan penggunaan tanah, penilaian risiko serta menyokong keperluan pematuhan pasaran.
  1. Pada akhirnya, data yang lebih tepat membawa kepada keputusan yang lebih baik. Inilah yang akan membantu kita memperkukuh ketelusan, kebolehjejakan dan tadbir urus industri berasaskan data, sekali gus menyokong usaha memastikan minyak sawit Malaysia terus diyakini dan berdaya saing di pasaran global.Hadirin sekalian,
  1. Bagi meneruskan usaha memperkukuh daya tahan dan kelangsungan kecemerlangan industri sawit, MPOB telah merangka strategi baharu yang melengkapi Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030), dikenali sebagai PALMS 2030. Ini bukan sekadar satu akronim; ia adalah pelan tindakan strategik untuk kita melakar semula masa hadapan industri sawit negara.
  1. Lima teras utama di bawah PALMS 2030 yang menuntut komitmen kolektif seluruh warga MPOB dan semua pihak dalam industri sawit:

    1) P – Produktiviti (Productivity): Kita mesti terus berusaha untuk meningkatkan hasil, impak, dan kecekapan.
    2) A – Automasi (Automation): Memperluas penggunaan teknologi inovatif sebagai penyelesaian dalam mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan cabaran tenaga kerja.
    3) L – Rendah Karbon (Low Carbon): Mentransformasi operasi ke arah ekonomi yang lebih bersih dan mesra alam.
    4) M – Kebolehpasaran (
    Marketability): Memastikan setiap teknologi dan inovasi tidak hanya kekal di makmal, tetapi menembusi pasaran komersial.
    5) S – Kemampanan (Sustainability): Kita perlu memperkukuh rantaian bekalan supaya kekal berdaya tahan dan diiktiraf di persada dunia.Tuan-tuan dan puan-puan,
  1. Di sinilah peranan kolaborasi industri menjadi amat penting. Hubungan antara MPOB dan pemain industri perlu saling melengkapi – pihak industri berkongsi pengalaman dan cabaran di lapangan, manakala MPOB menjalankan penyelidikan untuk mencari penyelesaian praktikal bagi cabaran tersebut.
  1. Dari aspek aktiviti kawal selia industri pula, MPOB dengan penglibatan pemain industri juga boleh menetapkan penanda aras atau piawaian tertentu yang boleh diguna sebagai kayu pengukur pencapaian sektor berkaitan dalam industri sawit Malaysia.

  2. Menyentuh mengenai Anugerah Industri Sawit Malaysia (AISM) pada malam ini, proses pencalonan dan penilaian penerima anugerah telah melalui saringan yang ketat dengan mengambil kira pencapaian produktiviti, penggunaan jentera dan automasi, polisi rendah karbon, pematuhan peraturan, pasaran produk dan aspek kemampanan. Calon calon yang layak telah disenarai pendek berdasarkan rekod pencapaian produktiviti dan tadbir urus, seterusnya disemak silang melalui lawatan lapangan untuk tinjauan fizikal premis perniagaan, kilang, ladang dan tapak semaian. Proses ini adalah penting untuk memastikan calon-calon berjaya menepati kriteria yang ditetapkan bagi setiap kategori.

  3. Kepada para pemenang yang akan menerima anugerah pada majlis malam ini, syabas dan tahniah diucapkan. Jadikan pengiktirafan ini sebagai pembakar semangat untuk terus meningkatkan prestasi dan kecemerlangan industri.
  1. Kepada rakan-rakan industri, kita wajar mengambil contoh atau inspirasi kecemerlangan pemenang-pemenang anugerah AISM untuk panduan dan rangsangan bagi meningkatkan pengurusan dan operasi. Kita juga wajar mengambil manfaat kemajuan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI), data raya (big data) dan inovasi terkini untuk meningkatkan kecekapan operasi yang berupaya memberi impak kepada kemajuan industri sawit.
  2. Akhir kata, sekali lagi saya merakamkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian hadir pada majlis yang amat bermakna ini. Tidak lupa juga kepada panel penilai, calon-calon AISM yang telah memberi kerjasama sepanjang sesi lawatan penilaian, jawatankuasa penganjur, dan pemain industri atas dedikasi dan sumbangan dalam menjayakan AISM 2025/2026. Matlamat kita kekal satu: memastikan industri sawit Malaysia kekal relevan, berdaya saing, inovatif, dan diyakini di seluruh dunia.

Sekian, terima kasih

Printed Publication SPOT-ME Number of Online Services