Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

  1. Alhamdulillah, kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita dapat berkumpul di Kota Kinabalu sempena Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit (PKPKS) 2026
  2. Bagi pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi, atas kesudian hadir dan menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Kebangsaan Pekebun Kecil Sawit.
  1. Saya juga merakamkan penghargaan kepada para peserta yang datang dari seluruh negara. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan membuktikan bahawa masa depan industri sawit turut disumbang oleh kesepaduan komuniti pekebun kecil yang menjadi sebahagian tunggak penting sektor komoditi utama negara.

Hadirin sekalian,

  1. Tema persidangan, “Kemampanan. Kebolehjejakan. Ketelusan.”, membawa makna yang sangat besar.
  1. Apabila kita bercakap tentang kelestarian industri sawit, kita tidak hanya melihat kepada kilang, teknologi, pasaran atau eksport. Kita mesti kembali kepada akar industri iaitu pekebun kecil.
  1. Lebih 253,000 pekebun kecil di seluruh pelusuk berada di barisan hadapan industri sawit negara. Apa yang berlaku di kebun akhirnya akan menentukan kualiti, produktiviti dan daya saing keseluruhan rantaian bekalan sawit Malaysia.
  1. Sebab itu, dalam konteks pembangunan pekebun kecil, pencapaian MPOB tidak seharusnya hanya diukur melalui berapa banyak teknologi yang kita cipta atau berapa banyak kajian yang terbitkan.
  1. Kejayaan sebenar ialah apabila teknologi itu sampai ke kebun dan  diterima pakai, menyumbang peningkatan hasil dan produktiviti, kos dapat diurus dengan lebih baik dan pendapatan pekebun kecil meningkat.
  1. Dalam erti kata lain, kalau pekebun kecil masih berdepan dengan masalah yang sama, kerja kita masih belum selesai.

Sidang hadirin,

10.PKPKS 2026 menyediakan ruang yang amat penting untuk kita berkongsi ilmu, pengalaman dan penyelesaian terhadap cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan.

11.Empat sesi yang memberi tumpuan kepada produktiviti dan teknologi, kelestarian, kebolehjejakan serta ketelusan dan pemerkasaan amat bertepatan dengan keperluan industri sawit pada hari ini.

12.MPOB akan terus membawa teknologi yang praktikal dan boleh dimanfaatkan oleh pekebun kecil, daripada bahan tanaman berkualiti tinggi, amalan pertanian baik,mekanisasi sehingga kepada penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan.

13.Kita juga perlu memastikan pekebun kecil bersedia menghadapi tuntutan pasaran antarabangsa yang semakin kompleks, termasuk keperluan berkaitan kebolehjejakan dan data geolokasi.

14.Dalam hal ini, MPOB telah membangunkan Portal GeoSAWIT™ sebagai platform geospatial nasional bagi menyokong kemampanan dan kebolehjejakan industri sawit negara.

15.Namun, teknologi hanya akan memberikan nilai apabila ia mudah digunakan, difahami dan benar-benar membantu pekebun kecil di lapangan dengan kos yang efektif.

Para hadirin yang dihormati,

16.Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk berkongsi gagasan baharu yang diperkenalkan oleh MPOB, iaitu PALMS 2030. Suka saya tegaskan bahawa gagasan PALMS 2030 dan Agenda Reformasi MPOB ini dirangka selari dengan mandat nasional kita, iaitu Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).

17.PALMS 2030 bukan sekadar satu akronim. Ia merupakan kompas baharu MPOB untuk melakar masa depan industri sawit yang lebih produktif, berteknologi, rendah karbon, mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi dan mampan.

P – Produktiviti.
Kita mahu hasil yang lebih tinggi dan pengeluaran yang lebih cekap.

A – Automasi.
Kita mahu teknologi mengurangkan kebergantungan kepada proses manual dan membantu menangani cabaran tenaga kerja.

L – Rendah Karbon.

Kita mahu industri yang lebih bersih, cekap dan mesra alam.

M – Kebolehpasaran.

Kita mahu inovasi MPOB tidak berhenti di makmal, tetapi sampai kepada pengguna dan pasaran.

Dan S – Kemampanan.

Kita mahu rantaian bekalan sawit yang berdaya tahan dan berdaya saing serta memberi manfaat kepada pekebun kecil.

518.Namun, lima matlamat ini tidak akan bergerak dengan sendirinya. PALMS 2030 mesti diterjemahkan  melalui tiga agenda pemacu utama, iaitu:

19.Pertama, MEREFORMASI INSTITUSI.

Kita perlu membina MPOB yang lebih tangkas, berintegriti, profesional, digital dan berorientasikan impak. Kita perlu memperkemas cara kita bekerja, mengurangkan kerenah birokrasi dan memastikan setiap tenaga, masa dan sumber yang kita gunakan memberikan hasil yang lebih besar.

20.Kedua, MENERAJUI INDUSTRI.
MPOB mesti berada di hadapan perubahan, bukan sekadar bertindak selepas perubahan berlaku. Kita perlu memastikan penyelidikan, teknologi dan inovasi yang dibangunkan benar-benar menyelesaikan masalah industri, sampai ke ladang, diterima pakai dan meningkatkan daya saing.

21.Ketiga, MENJANA EKONOMI.
Apa sahaja yang kita lakukan – di pejabat, di makmal,di ladang atau di pasaran – akhirnya mesti memberikan nilai kepada negara. Produktiviti mesti diterjemahkan kepada pendapatan, inovasi mesti diterjemahkan kepada nilai ekonomi dan pembangunan industri mesti membawa manfaat kepada rakyat.

22.Inilah hubungan antara PALMS 2030 dengan tiga agenda pemacu kita:

Mereformasi institusi untuk memperkukuh akar. Menerajui industri untuk meneguhkan batang. Menjana ekonomi untuk menghasilkan buah.

23.Saya ingin tekankan perkara ini di hadapan para pekebun kecil hari ini:

PALMS 2030 bukan agenda untuk MPOB. PALMS 2030 mesti diterjemahkan menjadi manfaat untuk industri dan akhirnya untuk rakyat, termasuk pekebun kecil.

24.Kalau kita bercakap tentang Produktiviti, pekebun kecil mesti memperoleh hasil yang lebih baik.

25.Kalau kita berbicara tentang Automasi, pekebun kecil mesti mempunyai akses kepada teknologi yang dapat mengurangkan kos dan kebergantungan kepada tenaga kerja.

26.Kalau kita berbincang tentang Rendah Karbon dan Kemampanan, pekebun kecil mesti dibantu supaya tidak tercicir daripada rantaian bekalan global.

27.Seterusnya apabila kita bercakap tentang Kebolehpasaran, kita mesti memastikan nilai yang terhasil daripada industri sawit turut diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan kesejahteraan

pekebun kecil. Itulah makna sebenar PALMS 2030.

Tuan-tuan dan puan-puan,

28.Dalam aspek kemampanan, pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) merupakan salah satu elemen penting bagi memastikan industri sawit Malaysia terus mempunyai tempat di pasaran antarabangsa.

29.MPOB akan terus memperkukuh penyertaan pekebun kecil dalam Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) melalui sokongan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit atau TUNAS.

30.Sehingga Jun 2026, sebanyak 162 kelompok SPOC telah memperoleh pensijilan MSPO, melibatkan 197,933 pekebun kecil persendirian di seluruh negara.

31.Di Sabah juga, kita melihat perkembangan yang amat menggalakkan. Ini membuktikan bahawa pekebun kecil di luar bandar dan pedalaman juga mampu bergerak seiring dengan tuntutan industri global.

32.Dalam masa yang sama, kekuatan pekebun kecil juga boleh dipertingkatkan melalui kerjasama berkelompok melalui koperasi, termasuk Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM).

33.Penjualan Tandan Buah Segar (TBS) melalui koperasi bukan sahaja dapat memperkukuh kedudukan pekebun kecil dalam rantaian nilai, malah membuka ruang untuk pulangan yang lebih baik kepada anggota.

34.Apabila pekebun kecil bersatu, suara menjadi lebih kuat, kuasa tawar-menawar menjadi lebih baik dan peluang untuk mencipta nilai juga menjadi lebih besar.Hadirin yang saya hormati,

35.Saya juga ingin memberikan penekanan khusus kepada peranan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS).

36.Saya mahu TUNAS bukan sekadar menjadi penyampai maklumat. Saya mahu mereka menjadi penghubung sebenar antara MPOB dengan pekebun kecil.

37.Mereka mesti menjadi mata MPOB untuk melihat masalah, telinga MPOB untuk mendengar suara pekebun kecil dan tangan MPOB untuk membantu menyelesaikan masalah di lapangan.

38.Kerana reformasi industri tidak boleh berlaku hanya dari pejabat. Ia mesti bermula di kebun. Ia mesti  dirasai di kebun. Dan hasilnya mesti kembali kepada pekebun.

Para hadirin yang dihormati,

39.Saya juga ingin menyeru para pekebun kecil dan semua pihak yang hadir supaya terus membawa anak-anak dan golongan muda mendekati industri ini.

  1. Jangan biarkan mereka melihat sawit sebagai sektor pertanian tradisional semata-mata.
  1. Industri sawit hari ini melibatkan bioteknologi, automasi, mekanisasi, kecerdasan buatan, tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan produk bernilai tinggi dalam bidang makanan, nutraseutikal,farmaseutikal dan oleokimia.
  1. Ini bermakna sawit bukan hanya menyediakan peluang di kebun. Sawit menyediakan masa depan.

Sidang hadirin sekalian,

43.Saya percaya PKPKS 2026 bukan sekadar persidangan. Ia adalah ruang untuk kita mendengar suara pekebun kecil, berkongsi ilmu dan mencari penyelesaian yang boleh dibawa pulang ke kebun masing-masing.

44.Saya menyeru para pekebun kecil agar mengambil sebanyak mungkin manfaat daripada persidangan dwi tahunan ini dan terus berhubung dengan Pegawai

TUNAS MPOB.

45.Bagi pihak MPOB, saya ingin tegaskan bahawa PALMS 2030 hanya akan berjaya sekiranya ia hidup di lapangan.

46.Kita boleh mempunyai teknologi yang hebat. Kita boleh mempunyai dasar yang baik. Kita boleh mempunyai strategi yang kukuh. Tetapi semuanya tidak akan bermakna jika manfaatnya tidak sampai kepada akar umbi.

47. Justeru, marilah kita bersama-sama membina industri sawit yang bukan sahaja lebih produktif dan berdaya saing, tetapi juga memastikan pekebun kecil tidak tercicir daripada kemajuan yang kita bina.

48.Akhir kata, saya sekali lagi merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad atas kesudian hadir merasmikan PKPKS 2026, serta kepada semua penaja, rakan strategik, pembentang dan Jawatankuasa Penganjur yang telah menjayakan persidangan ini.

49.Semoga segala ilmu, pandangan dan perkongsian sepanjang persidangan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan, peningkatan produktiviti, peningkatan pendapatan dan kesejahteraan pekebun kecil. Daripada akar umbi, kita kukuhkan industri. Daripada industri, kita bina ekonomi. Dan daripada ekonomi, kita bina masa depan.

Sekian, Wabillahi Taufiq wal Hidayah, Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

Printed Publication SPOT-ME Number of Online Services