SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Pekebun kecil sawit barisan hadapan pemeliharaan alam sekitar, sokong agenda kemampanan negara
BATU PAHAT, 27 Jun 2026 – Lebih 200,000 pekebun kecil sawit yang mengusahakan tanaman sawit secara persendirian berperanan bukan sahaja sebagai pengeluar minyak sawit, komoditi strategik negara, malah menyumbang penjagaan alam sekitar melalui pelaksanaan amalan Pengurusan Nilai Pemuliharaan Tinggi (High Conservation Value – HCV) di bawah skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).
Usaha mempertingkatkan pemahaman dan pelaksanaan HCV dalam kalangan pekebun kecil sawit terus dipergiatkan oleh agensi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), agensi dibawah Kementerian Perladangan dan Komoditi bagi memastikan kemajuan industri sawit negara berkembang seiring dengan pemeliharaan biodiversiti, perlindungan sumber air dan keseimbangan ekologi.
Pekebun kecil yang mengusahakan tanaman sawit telah diberi pendedahan dan latihan berkaitan pengurusan HCV oleh wakil Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), termasuk kaedah mengenal pasti kawasan sensitif alam sekitar di dalam dan sekitar kebun mereka.
Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sawit Daerah Batu Pahat, Johor telah dirasmikan oleh Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, yang turut meninjau pelaksanaan program pembangunan kapasiti pekebun kecil serta Pensijilan MSPO yang dilaksanakan oleh MPOB.
Pada majlis sama, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, persepsi bahawa usaha pemuliharaan alam sekitar hanya melibatkan kawasan hutan simpan atau taman negara perlu diubah kerana pekebun kecil sawit juga memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan kelestarian alam sekitar negara.
Menurutnya, pengurusan HCV merupakan antara elemen penting dalam Pensijilan MSPO yang memastikan aktiviti penanaman sawit dijalankan secara bertanggungjawab tanpa menjejaskan kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti tinggi, sumber air, habitat hidupan liar, kawasan warisan budaya serta ekosistem yang penting kepada komuniti setempat.
“Ramai yang tidak menyedari bahawa pekebun kecil sawit sebenarnya berada di barisan hadapan dalam usaha pemeliharaan alam sekitar melalui penglibatan dalam melindungi zon penampan sungai, memelihara kawasan tadahan air atau mengelakkan pencerobohan habitat hidupan liar, mereka sedang menyumbang secara langsung kepada agenda kemampanan negara dan global”.
Inilah yang membezakan industri sawit Malaysia. Kemampanan bukan hanya dilaksanakan oleh syarikat besar, tetapi turut dipraktikkan oleh pekebun kecil di seluruh negara yang menjadi tulang belakang industri sawit Malaysia,” kata Datuk Parveez.
Beliau berkata, pematuhan kepada amalan HCV bukan sahaja memberi manfaat kepada alam sekitar, malah membantu meningkatkan kredibiliti dan kebolehpasaran minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan, ketelusan dan pematuhan kepada piawaian kemampanan.
“Masyarakat dunia hari ini mahu mengetahui bagaimana makanan dan produk yang mereka gunakan dihasilkan. Melalui MSPO dan pelaksanaan HCV, Malaysia membuktikan bahawa minyak sawit boleh dihasilkan secara mampan tanpa mengabaikan kepentingan alam sekitar, komuniti dan pembangunan ekonomi,” tambah beliau.
Bagi menyokong pelaksanaan ini, MPOB melalui Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara terus menyediakan khidmat bimbingan teknikal, latihan pembangunan kapasiti, khidmat nasihat agronomi dan sokongan pensijilan kepada pekebun kecil sawit persendirian.
MPOB akan terus bekerjasama rapat dengan Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pihak industri serta pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan pekebun kecil sawit tidak ketinggalan dalam memenuhi keperluan kemampanan global yang semakin berkembang.
Antara aspek yang diberi penekanan termasuk pengenalpastian kawasan HCV, perlindungan kawasan penampan, pengurusan sumber air secara mampan, pencegahan hakisan tanah dan langkah mitigasi bagi memelihara habitat hidupan liar.