SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
MPOB perkukuh hala tuju R&D, pacu daya saing industri sawit dalam ketidaktentuan global
BANGI, 15 April 2026 – Mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Program (PAC) Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menumpukan terhadap pemerkasaan strategi penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi memastikan industri sawit negara kekal berdaya saing dan menangani cabaran pasaran minyak sayuran global.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir dalam ucapan perasmian PAC 2026 berkata ketidakstabilan geopolitik khususnya di Timur Tengah telah memberi kesan rantaian kepada pelbagai sektor termasuk pasaran minyak dan lemak global, sekali gus menuntut pendekatan yang lebih strategik dan berasaskan sains dalam memperkukuh industri.
“Sehubungan itu, PAC berperanan penting dalam menyelaras hala tuju R&D MPOB agar selari dengan keperluan industri dan perkembangan global. Pendekatan ini merangkumi keseluruhan rantaian nilai sawit, daripada huluan hingga hiliran, dengan penekanan kepada inovasi, aplikasi teknologi serta impak sosio-ekonomi,” katanya.
Mesyuarat PAC MPOB 2026 yang berlangsung selama empat hari mulai Isnin turut membincangkan pendekatan R&D strategik MPOB bagi menyelaras inisiatif dan memperkasa daya saing industri sawit negara selari dengan mandat Kerajaan di bawah kerangka Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).
Antara pelaksanaan di bawah hala tuju DAKN meliputi inisiatif pelaksanaan pensijilan mandatori Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO 2.0), penanaman semula kelapa sawit di sektor pekebun kecil dengan perbelanjaan sekitar RM171 juta, pembangunan sektor bahan api penerbangan mampan serta pemerkasaan integrasi teknologi automasi melalui kecerdasan buatan (AI) dan dron.
PAC yang dianggotai oleh saintis dan pakar dalam industri sawit dan minyak sayuran dunia memberi penekanan kepada strategi untuk meningkatkan produktiviti dan hasil sawit, termasuk menangani ancaman penyakit seperti Ganoderma serta memperkukuh pembangunan bahan tanaman berprestasi tinggi melalui penggunaan teknologi genomik terkini.
Dalam masa yang sama, aspek kemampanan terus menjadi keutamaan, khususnya dalam mendepani keperluan pematuhan kepada piawaian antarabangsa seperti Peraturan Bebas Penyahhutan Kesatuan Eropah (EUDR) yang menuntut rantaian bekalan bebas penebangan hutan dan tahap kebolehkesanan yang tinggi.
“Industri sawit juga berpotensi memainkan peranan lebih besar dalam agenda peralihan tenaga melalui penggunaan adunan biodiesel dan memastikan keterjaminan makanan global sebagai tanaman minyak sayuran paling efisien dari segi pengeluaran hasil setiap hektar,” tambah beliau.
Ahli PAC MPOB terdiri daripada penggiat industri, penyelidik, serta ahli akademik dan ilmuan dalam dan luar negara yang mempunyai kepakaran dalam sektor industri meliputi sektor huluan hingga hiliran sawit, tekno ekonomi dan perdagangan antarabangsa.
MPOB telah merangka enam bidang utama penyelidikan selari perkembangan dan keperluan industri iaitu Prestasi Hasil; Mitigasi dan Adaptasi Perubahan Iklim; Pengilangan, Pemprosesan dan Mekanisasi; Keselamatan Makanan dan Pemakanan; Nilai Tambah; dan Tekno dan Sosio-Ekonomi akan terus mempergiat usaha R&D secara holistik bagi memastikan industri sawit negara kekal mampan, berdaya tahan dan relevan di peringkat global.
Mesyuarat PAC juga menjadi platform penting untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, memacu inovasi serta mempercepat pemindahan teknologi ke arah penyelesaian praktikal yang dapat memberi manfaat kepada keseluruhan industri.