MAJLIS PENUTUP KONVENSYEN KEBANGSAAN KEJURUTERAAN PERTANIAN DAN MAKANAN 2026 MPOB (NAFEC 2026 MPOB)

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

  1. Alhamdulillah, dengan izin dan limpah rahmat-Nya, setelah dua hari kita bersama-sama dalam Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan 2026 MPOB (NAFEC 2026 MPOB), kini kita telah berada di penghujung konvensyen, satu platform yang signifikan dalam mencorakkan masa depan sektor agrikomoditi dan agromakanan negara. Selama dua hari, kita telah berpeluang mendengar perkongsian ilmu, idea dan inovasi berkaitan teknologi automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan, sehinggalah kepada pengalaman sebenar di lapangan.

  2. Apa yang telah dibincang sepanjang konvensyen ini mengukuhkan hakikat bahawa dunia sedang berubah dengan pantas, dan sektor pertanian serta komoditi negara tidak boleh ketinggalan. Seperti yang telah ditegaskan dalam ucapan perasmian, kita tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah tradisional dalam pengurusan dan pengendalian sektor pertanian dan agrikomoditi. Menuju ke hadapan, memerlukan kepada operasi lapangan yang lebih cekap, lebih pintar dan berasaskan data. Justeru, menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan segala idea, teknologi dan cadangan yang telah dibentangkan tidak terhenti di dewan ini sahaja, tetapi diterapkan dalam pelaksanaan di peringkat pengurusan dan lapangan.

Hadirin yang dihormati,

  1. Pencapaian NAFEC 2026 MPOBtidak hanya diukur melalui jumlah penyertaan, pembentangan idea baharu dan teknologi, tetapi sejauh mana penerapan dan penyelesaian yang diterjemahkan kepada tindakan sebenar di lapangan. Ilmu yang dikongsi di dewan konvensyen ini, perlu diterjemahkan kepada inovasi yang memberi impak kepada produktiviti ladang, kesejahteraan pekebun, kemampanan industri dan kemajuan ekonomi negara.

  2. Saya amat berbangga kerana NAFEC 2026 MPOB telah berjaya menghimpunkan pelbagai pihak meliputi agensi Kerajaan, institusi penyelidikan, universiti, syarikat teknologi, pemain industri dan pengamal lapangan. Inilah kekuatan sebenar kita. Transformasi besar tidak akan berlaku secara bersendirian. Ia memerlukan keberanian untuk berkolaborasi, berkongsi kepakaran dan membina penyelesaian secara bersama.

  3. Saya berharap agar penemuan dan idea yang disampaikan sepanjang konvensyen ini dapat menjana kaedah baharu yang lebih berkesan melalui pengalaman di lapangan yang digabungkan dengan aplikasi pendigitalan, teknologi terkini dan amalan pertanian yang baik.

Hadirin sekalian,

  1. Berakhirnya konvensyen ini bukanlah penamat tetapi merupakan titik permulaan kepada agenda yang lebih besar. Tanggungjawab kita selepas ini adalah untuk memastikan segala idea, jaringan kerjasama dan aspirasi yang tercetus sepanjang konvensyen diteruskan melalui tindakan yang nyata dan berimpak tinggi. Masa depan sektor agrikomoditi dan agromakanan negara memerlukan komitmen semua pihak dan pemegang taruh termasuk kita yang berada di dewan ini.
  2. Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada penerima anugerah diatas pencapaian dan pengiktirafan NAFEC 2026 MPOB. Kejayaan dan sumbangan saudara-saudari dalam bidang kejuruteraan pertanian dan teknologi agrikomoditi amat besar ertinya kepada pembangunan industri dan negara. Semoga pencapaian ini menjadi inspirasi kepada lebih ramai penyelidik, jurutera dan inovator muda untuk terus mencipta penyelesaian baharu demi masa depan industri agrikomoditi Malaysia.
  3. Akhir kata, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan NAFEC 2026 MPOB, khususnya kepada pihak penganjur Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE), petugas MPOB, para penaja, pembentang, peserta serta semua yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. Semoga segala usaha ini menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam operasi lapangan dan seterusnya memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam sektor agrikomoditi global.
  4. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan rasminya menutup Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan 2026 MPOB (NAFEC 2026 MPOB).

Sekian, terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services