SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Kerajaan perhebat inisiatif peningkatan produktiviti dan pensijilan MSPO pekebun kecil
BATU PAHAT, 13 Jun 2026 – Johor terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri yang mempunyai bilangan pekebun kecil kelapa sawit persendirian tertinggi di Malaysia dengan seramai 62,897 pekebun kecil yang mengusahakan kawasan tanaman seluas 150,190 hektar.
Sejajar dengan kedudukan strategik tersebut, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), bersama agensi dibawahnya Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan Majlis Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) memperhebat pelbagai inisiatif bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan kemampanan pekebun kecil di negeri ini.
Sehingga Mac 2026, seramai 174 pekebun kecil di Johor telah menerima manfaat di bawah Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) melibatkan keluasan tanaman semula 422.8 hektar dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.92 juta. Inisiatif ini bertujuan membantu pekebun kecil menanam semula pokok kelapa sawit tua dan kurang produktif bagi meningkatkan hasil serta pendapatan.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pengukuhan sektor pekebun kecil merupakan antara keutamaan Kerajaan bagi memastikan industri kelapa sawit negara terus kekal berdaya saing, mampan dan mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Pekebun kecil merupakan tulang belakang industri kelapa sawit negara. Justeru, usaha meningkatkan produktiviti, memperluaskan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan memperkukuh akses kepada pembiayaan serta pasaran perlu terus dipergiat bagi memastikan mereka memperoleh manfaat yang lebih besar daripada rantaian nilai industri sawit,” katanya ketika merasmikan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Kelapa Sawit Daerah Batu Pahat di Sri Medan, hari ini.
Menurut beliau, MPOB melalui rangkaian 49 Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara terus memainkan peranan penting dalam membantu pekebun kecil meningkatkan amalan pertanian baik, produktiviti kebun dan pematuhan kepada piawaian kemampanan.
Di Johor sahaja, sebanyak 43 Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) telah ditubuhkan bagi memperluaskan penyertaan pekebun kecil dalam Pensijilan MSPO, sekali gus memperkukuh kedudukan minyak sawit Malaysia di pasaran global yang semakin menitikberatkan aspek kemampanan.
MPOB dan MSPO terus memperkukuh kerjasama bagi memperluaskan penyertaan pekebun kecil dalam pensijilan MSPO, khususnya di Johor. Inisiatif ini dijangka meningkatkan daya saing minyak sawit Malaysia di pasaran antarabangsa yang semakin memberi keutamaan kepada produk yang diperakui mampan.
MPOB turut melaksanakan pelbagai program pembangunan pekebun kecil seperti penyertaan pekebun kecil dalam Kelab 30 Tan dan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) bagi meningkatkan produktiviti, memperkukuh kedudukan ekonomi serta memperluaskan akses pasaran kepada komuniti pekebun kecil.
Melalui KPSM, pekebun kecil digalakkan menjual tandan buah segar (TBS) secara terus kepada kilang sawit melalui koperasi bagi mendapatkan harga yang lebih telus dan kompetitif. Pendekatan ini bukan sahaja membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil, malah memperkukuh rantaian bekalan industri sawit negara secara keseluruhan.
KPSM merupakan model yang dibangunkan khusus bagi meningkatkan keupayaan pekebun kecil kelapa sawit persendirian melalui aktiviti perniagaan dan perkhidmatan kepada ahli.