SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
Kepakaran kejuruteraan, automasi dan AI, keperluan kritikal industri agrikomoditi
SEREMBAN, 12 Mei 2026 – kepakaran kejuruteraan, automasi, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) kini menjadi keperluan kritikal dalam memperkukuh daya saing sektor agrikomoditi serta menjamin keterjaminan makanan negara pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii menegaskan demikian semasa Majlis Perasmian Konvensyen Kebangsaan Kejuruteraan Pertanian dan Makanan (NAFEC) 2026 MPOB yang berlangsung di Seremban hari ini.
Konvensyen anjuran Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSAE) dengan kerjasama MPOB itu menghimpunkan lebih 200 peserta profesional terdiri daripada penyelidik, ahli akademik, jurutera, penggiat industri, pembuat dasar dan syarikat teknologi dari seluruh negara.
Mengangkat tema “Revolutionising Field Operations: Automation, Digitalisation, AI and Future-Ready Technologies”, NAFEC 2026 MPOB memberi fokus kepada transformasi operasi lapangan melalui penggunaan teknologi pintar, automasi dan penyelesaian digital dalam sektor pertanian, makanan dan agrikomoditi.
Dato’ Sri Huang Tiong Sii mewakili Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) berkata Kerajaan melalui Kementerian dan MPOB komited memastikan agenda transformasi teknologi dilaksanakan secara menyeluruh di semua peringkat` industri.
“Antara fokus utama KPK termasuk memperkukuh dasar dan insentif untuk mempercepatkan penggunaan teknologi, menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diterajui MPOB dan institusi penyelidikan lain, membangunkan tenaga kerja mahir teknologi, menggalakkan pembangunan mesin dan jentera tempatan serta memastikan golongan pekebun kecil tidak tercicir dalam arus transformasi,” katanya.
Katanya, usaha memperkukuh penggunaan teknologi dalam sektor agrikomoditi amat penting ketika dunia berdepan cabaran geopolitik, ketidaktentuan rantaian bekalan global, peningkatan kos operasi dan kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan.
“Dalam landskap global hari ini, keupayaan menghasilkan makanan dan komoditi secara cekap, pintar dan lestari bukan lagi sekadar kelebihan ekonomi, tetapi menjadi faktor penting kepada daya tahan dan keselamatan strategik sesebuah negara,” katanya lagi.
Tambah beliau, penekanan terhadap pekebun kecil amat kritikal memandangkan sumbangan sekitar 25 peratus keluasan tanaman sawit negara daripada keseluruhan 5.7 juta hektar, sekali gus memainkan peranan penting dalam rantaian bekalan industri sawit Malaysia.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata transformasi teknologi sektor agrikomoditi tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa kerjasama strategik antara kerajaan, institusi penyelidikan, industri dan syarikat teknologi.
Pada majlis tersebut, Huang turut menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) kerjasama R&D antara MPOB dengan dua rakan strategik iaitu Syarikat Wide Agro Ventures Sdn. Bhd. bagi teknologi pemotong rumput kawalan jauh dan CNY Machinery Sdn. Bhd. bagi teknologi jentera penuai sawit kompak menggunakan sistem kawalan jauh.
Kerjasama strategik tersebut dijangka mempercepat penggunaan teknologi automasi tempatan dalam sektor perladangan, sekali gus menyokong usaha negara mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja manual serta meningkatkan produktiviti operasi lapangan.
Presiden MSAE, Rosnah Shamsudin dalam ucapan aluan berkata NAFEC perlu terus menjadi platform utama bagi memperkukuh jaringan profesional, pertukaran ilmu dan pembangunan inovasi kejuruteraan pertanian serta makanan di negara ini.
“NAFEC bukan sahaja menghimpunkan pakar dan pemain industri, tetapi menjadi platform penting untuk membina penyelesaian teknologi masa depan bagi sektor agrikomoditi dan agromakanan yang lebih mampan, berdaya tahan dan berimpak tinggi,” katanya.
Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah MSAE kepada enam penerima serta Anugerah Tesis MSAE kepada sembilan penyelidik pascasiswazah sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan mereka dalam bidang kejuruteraan pertanian dan makanan.
NAFEC 2026 MPOB berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 Mei 2026 dengan pelbagai sesi teknikal, pembentangan kertas kerja, forum industri dan pameran teknologi melibatkan bidang mekanisasi dan automasi, IR4.0 dalam pertanian dan makanan, pengurusan sumber semula jadi, kejuruteraan lepas tuai serta teknologi mampan.