Ucapan oleh YBhg. Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sempena Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan bersama Warga Sekolah Kebangsaan Kemabong, Tenom, Sabah

Assalamualaikum, Selamat Pagi, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI. 

Syukur saya panjatkan pada Ilahi kerana pada pagi ini, saya diberi kesempatan dan ruang untuk bersama-sama warga Sekolah Kebangsaan Kemabong di Tenom dalam Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan melibatkan anak-anak murid di Sekolah Kembong ini yang telah dipilih sebagai sekolah angkat dalam sebuah program komuniti dibawah “Kampung Angkat Madani”.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah terutamanya kepada guru besar, warga kerja sekolah, guru-guru, wakil PIBG, dan terutama sekali kepada anak-anak yang dikasihi kerana telah memberi sambutan yang sangat baik. Kehadiran kami di sini bukan sekadar untuk menyampaikan bantuan persekolahan, tetapi juga untuk menyantuni permulaan sesi persekolahan di awal tahun 2026 bersama anak-anak dan warga kerja Sekolah Kebangsaan Kemabong khususnya.  

Hadirin yang saya hormati sekalian,

  1. Sebagai seorang ketua keluarga, saya amat memahami bahawa setiap keluarga memerlukan perbelanjaan yang besar setiap kali sesi persekolahan bermula. Oleh itu, pada tahun ini, pihak MPOB ingin sama berkongsi serta menyantuni persiapan persekolahan dengan memberikan sedikit sumbangan asas berupa beg persekolahan serta set pensil warna bagi meringankan tanggungan ibu bapa. Semoga dengan sumbangan yang sederhana dari kami dapat membangkitkan semangat dan keceriaan anak-anak kita menghadapi pembukaan persekolahan.

  2. Justeru, pada pagi ini, saya sekali lagi menzahirkan penghargaan kepada Guru Besar dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Kemabong kerana memberi peluang kepada saya untuk menyampaikan sendiri bantuan alatan sekolah kepada anak-anak murid. Saya turut berharap agar anak-anak murid dapat memanfaatkan sumbangan dari kami supaya proses pembelajaran dapat dinikmati tanpa rasa kekurangan.

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Saya turut memaklumkan bahawa Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sentiasa mendukung kepentingan pendidikan di kalangan anak-anak muda di negara ini. MPOB sentiasa melakukan aktiviti ramah mesra bersama masyarakat terutamanya dengan sekolah-sekolah di desa dan di bandar sebagai salah satu tanggungjawab sosial. Kami memilih untuk bersama-sama dengan anak-anak murid sekalian, kerana masa depan negara ini bakal ditunjangi oleh anak-anak muda yang bakal menjadi pemimpin di negara ini. Saya turut mengambil peluang ini untuk memberitahu anak-anak di hadapan saya ini supaya rajin belajar dan cuba teruskan pendidikan ke peringkat tinggi. Semoga dengan pendidikan tinggi yang dicapai kelak dapat membantu meningkatkan taraf kehidupan keluarga masing-masing.

 

  1. Untuk pengetahuan anak-anak yang dikasihi, MPOB ialah sebuah agensi kerajaan di bawah Kementerian Perladangan & Komoditi (KPK) yang bertanggungjawab dalam penyelidikan dan pembangunan, inovasi, dan mengawal selia industri sawit Malaysia kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa. Untuk makluman, minyak sawit bukan sahaja digunakan dalam penyediaan makanan seperti menggoreng tetapi juga dijadikan bahan untuk pembuatan kosmetik, ubatan, vitamin, dan juga biodiesel serta pelbagai produk harian. Industri sawit menyumbang berbilion ringgit kepada negara dan mewujudkan peluang pekerjaan kepada ratusan ribu orang di negara ini. Sebab itulah kami di MPOB mahu anak-anak sedar, bahawa pentingnya untuk mempunyai pendidikan kerana generasi muda seperti anak-anak sekalian akan memastikan kelangsungan industri sawit negara di masa hadapan dengan mengisi peluang pekerjaan yang terbuka luas di dalam industri sawit.

Anak-anak murid yang dikasihi sekalian, 

  1. Sebagai seorang ketua keluarga, ingin sekali lagi saya menasihatkan murid-murid untuk mendengar panduan dan ilmu yang disampaikan oleh pendidik di sekolah ini kerana pada satu hari nanti, ada di antara kamu mungkin bakal menceburi bidang sains dan teknologi, pengurusan, seni kreatif, tokoh akademik, atau pun sebagai tokoh masyarakat. Namun begitu, apa pun cita-cita kamu, belajarlah bersungguh-sungguh, rajin membaca, berani mencuba, dan jangan pernah takut untuk bermimpi besar. Saya percaya dengan bekalan ilmu bukan sahaja manfaatnya diraih semasa di dunia tapi kehidupan selepasnya. Dengan ilmu juga kita manusia dapat berbakti kembali untuk menjaga alam kurniaan-Nya dan hubungan sesama manusia dan Sang Pencipta.

  2. Saya juga berharap murid-murid di sini akan menjadi duta kecil industri sawit negara. Apabila ada orang yang ingin tahu tentang sawit, kamu boleh terangkan bahawa sawit menyumbang kepada ekonomi negara, pekerjaan rakyat, dan kelestarian alam sekitar melalui amalan pertanian yang mampan. Dengan cara ini, kita membantu memastikan maklumat yang betul dan tepat disebarkan kepada masyarakat luar. 

Tuan-tuan dan puan-puan,

  1. Sebelum saya akhiri ucapan, izinkan saya menyampaikan dua rangkap pantun :

“Sang Kinabalu tampak beralas ,
Pemandangan indah di awal pagi;
Guru cemerlang hatinya ikhlas,
Wariskan ilmu sebagai inspirasi.”

“Warga Kemabong warganya hebat,
Membentuk sahsiah diri terperi;
Sawit yang mampan tidak mudarat,
Ekonomi mekar sejahtera negeri.”

Hadirin yang dihormati,

  1. Saya berharap agar penerapan ilmu serta pemahaman berterusan pelbagai ilmu mengenai teknologi dan inovasi sawit diteruskan di sekolah ini, serta dipanjangkan kepada sekolah-sekolah lain pada masa hadapan. MPOB akan terus memainkan peranan memastikan kecemerlangan di dalam bidang penyelidikan dan pembangunan inovasi sawit diteruskan supaya industri sawit negara kekal makmur lantas memacu ekonomi negara.

Sekian, terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services