Kerajaan perkasa pekebun kecil sawit Sabah melalui insentif Pensijilan MSPO

SIARAN MEDIA 
Untuk Siaran Segera

Kerajaan perkasa pekebun kecil sawit Sabah melalui insentif Pensijilan MSPO

LAHAD DATU, 28 April 2025  – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menyediakan skim galakan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) sebagai pendekatan inklusif kepada pekebun kecil persendirian untuk memastikan pengeluaran minyak sawit golongan tersebut mudah dieksport ke negara luar.    

 

Insentif tersebut disediakan bagi meringankan beban pematuhan Pensijilan MSPO oleh pekebun kecil sawit persendirian, khususnya dari segi kos dan kekangan kepakaran teknikal berkaitan piawaian pensijilan.

“Kerajaan telah menyediakan bantuan merangkumi kos yuran Pensijilan MSPO, latihan berkaitan MSPO serta penyediaan rak penyimpanan bahan kimia dan peralatan perlindungan diri (PPE),” kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin ketika merasmikan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sawit Daerah Lahad Datu, Sabah hari ini. 

Selain itu, insentif tersebut juga meliputi bantuan dan tunjuk ajar kepada pekebun kecil, penyediaan papan tanda kebun serta bantuan RM200 bagi penukaran syarat nyata tanah bagi memenuhi piawaian MSPO yang membantu meningkatkan penerimaan minyak sawit pekebun kecil di peringkat antarabangsa.

Program tersebut merupakan inisiatif turun padang yang dilakukan pihak Kerajaan sebagai galakan terhadap golongan pekebun kecil sawit untuk meningkatkan bilangan pemegang Pensijilan MSPO dalam kalangan pekebun kecil sawit di Daerah Lahad Datu. 

Printed Publication SPOTME Number of Online Services