UCAPAN ALU-ALUAN
YBHG. DATUK MOHAMAD HELMY OTHMAN BASHA
PENGERUSI LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA

SEMPENA
MALAM GALA JUBLI PERAK MPOB

JUMAAT, 2 MEI 2025
MARRIOTT PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
PUTRAJAYA MARRIOTT HOTEL

Bismillahirrahmanirrahim 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Malaysia MADANI. 

Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani 

Menteri Perladangan dan Komoditi 

Yang Berbahagia Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof 

Ketua Setiausaha 

Kementerian Perladangan dan Komoditi 

Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir Ketua Pengarah  

Lembaga Minyak Sawit Malaysia

Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan Ketua-ketua Agensi,  Ahli-ahli Lembaga MPOB, 

Rakan-rakan Strategik, 

Rakan-rakan Media,  

Warga MPOB yang dikasihi,  

Tuan-tuan dan Puan-puan. 

Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan  kepada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri  Perladangan dan Komoditi atas kesudian meluangkan masa hadir ke  Majlis Sambutan Jubli Perak MPOB pada malam yang penuh bersejarah  ini. Kehadiran Yang Berhormat Datuk Seri menyerikan lagi sambutan  ulang tahun ke-25 MPOB, sekali gus mencerminkan sokongan padu  kerajaan terhadap usaha MPOB memajukan industri sawit negara. 

  1. Majlis pada malam ini bukan sekadar simbolik sambutan ulang  tahun, tetapi ia adalah manifestasi penghargaan terhadap dedikasi,  inovasi dan sumbangan semua pihak serta MPOB dalam memaju dan  memperkukuhkan industri sawit sebagai tunggak sektor agrikomoditi  negara.  

Sidang hadirin yang dihormati,

  1. Sejak ditubuhkan pada 1 Mei 2000, MPOB telah mengorak langkah  sebagai sebuah agensi utama yang menjadi teras pembangunan industri  sawit Malaysia. Melalui pendekatan berteraskan sains, teknologi dan  inovasi, MPOB terus menyumbang secara signifikan kepada peningkatan  daya saing dan kemampanan industri sawit negara di persada global. 
  2. Dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), MPOB telah  mengkomersialkan lebih 200 teknologi berimpak tinggi dari sektor huluan hingga sektor hiliran merangkumi bioteknologi, pengilangan, biojisim,  biodisel, oleokimia dan formulasi produk makanan. Inovasi ini telah  menjana nilai pasaran lebih RM5.9 bilion, sekaligus melonjakkan kualiti,  produktiviti, kemampanan dan nilai tambah industri sawit negara. 
  3. Antara inovasi dan pencapaian signifikan termasuk penghasilan bahan tanaman unggul Palm Series (PS 1.1) dan Clonal Palm Series  (CPS), mesin penuai buah sawit seperti Cantas™ dan Cantaz™ Elektro,  serta produk biopestisid mesra alam seperti Walbac, yang terbukti bagi  kawalan serangan ulat bungkus di ladang sawit. MPOB juga mempelopori  penghasilan produk pemakanan dan kesihatan seperti tokotrienol (vitamin  E sawit) dan minyak sawit merah serta produk oleokimia bernilai tinggi  yang kini mendapat tempat di pasaran antarabangsa termasuk Amerika  Syarikat dan China. 
  4. Dari aspek perluasan pasaran, MPOB turut memainkan peranan  penting bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam  rundingan perjanjian perdagangan bebas seperti MTFTA (Malaysia– Turkiye), ASEAN–India FTA dan MICECA (Malaysia–India). Jalinan  dagang dan diplomatik yang kukuh ini menjadi asas kepada pertumbuhan  eksport dan daya tahan industri sawit kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

  1. Ketika kita meraikan ulang tahun ke-25 MPOB, penting untuk kita  mengiktiraf sumbangan penggiat industri termasuk pekebun kecil yang  mengusahakan penanaman sawit sebagai nadi industri sawit negara. Kini, lebih 219,000 pekebun kecil sawit persendirian telah berlesen  dengan MPOB, mengusahakan lebih 829,000 hektar kebun sawit di  seluruh negara. Mereka bukan sekadar pengeluar, tetapi pemangkin  utama kepada kemakmuran sektor agrikomoditi. 
  2. Justeru, MPOB terus memperkasakan sektor pekebun kecil melalui  pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti khidmat nasihat penanaman sawit  dan skim insentif dan bantuan meliputi Skim Pembiayaan Tanam Semula  Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), penubuhan Koperasi Penanam Sawit  Mampan (KPSM) serta penubuhan Kelompok Minyak Sawit Mampan  (SPOC) bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Segala  usaha ini adalah untuk memastikan pembangunan komuniti sawit secara  inklusif. 

Para hadirin sekalian, 

  1. Mengorak langkah ke hadapan, MPOB terus memperkukuh iltizam  untuk mendukung aspirasi negara ke arah pembangunan industri sawit  yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing. Selaras dengan agenda  kebangsaan, dalam memperkasa ekonomi hijau dan pendigitalan, MPOB  telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti pembangunan  biodiesel sawit sebagai sumber tenaga alternatif yang mesra alam dan  penghasilan produk oleokimia berasaskan sawit yang memenuhi piawaian hijau dan keperluan pasaran global yang semakin menekankan  kemampanan. 
  1. Pelaksanaan sistem digital seperti Sawit Intelligent Management  System (SIMS) dan e-Pelesenan MPOB, dapat mempertingkat  kecekapan dan memperkemas proses penyampaian perkhidmatan serta  ketelusan urus tadbir industri. Manakala pembangunan aplikasi atas  talian seperti InfoSawit dan Gano ID membolehkan pemain industri dan  pekebun kecil sawit menerima maklumat terkini terus ke hujung jari. 
  2. MPOB turut meningkatkan integrasi sistem bagi pelaporan dan  hebahan maklumat industri seperti e-Kilang, e-Peniaga, e-Submission.  Pembangunan portal GeoSawit membantu pengurusan ladang  menggunakan data geospatial, memperkenal amalan pertanian tepat dan  menjana keputusan yang lebih berinformasi. Inisiatif-inisiatif ini  mencerminkan komitmen MPOB untuk memastikan bahawa industri sawit  Malaysia terus relevan, progresif, mampan dan diiktiraf di peringkat  antarabangsa. 

Tuan-tuan dan puan-puan, 

  1. Sepanjang penubuhannya, MPOB telah memainkan peranan  penting memperkukuh ekosistem industri sawit negara, dan pada masa  yang sama, mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Kejayaan  dalam bidang R&D, pemindahan teknologi, inovasi produk dan  kecekapan penyampaian membuahkan hasil yang membanggakan. 
  2. Antara pencapaian membanggakan MPOB termasuk  penganugerahan Mahathir Science Award 2022, pengiktirafan saintifik berprestij dalam negara. Ini merupakan pengiktirafan terhadap  sumbangan MPOB dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang  memberikan impak kepada pembangunan dan kesejahteraan negara negara membangun di dunia. MPOB turut menerima Anugerah Majikan  Prihatin Peringkat Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan  2019, Merdeka Award 2014, Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama  Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta (AIPB) 2008 & 2001 dan  Islamic Development Bank (IDB) Prizes for Science & Technology 2006, membuktikan keupayaan MPOB sebagai peneraju penyelidikan, inovasi,  dan pemindahan teknologi dalam industri sawit global. 
  1. Semua pencapaian ini bukan sekadar lambang kejayaan institusi,  tetapi juga merupakan cerminan dedikasi, kepakaran dan profesionalisme  warga MPOB. Ia harus menjadi pembakar semangat kepada kita semua  untuk terus melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan  datang. 

Hadirin yang dihormati, 

  1. Sempena ulang tahun ke 25, pelbagai program telah dirangka bagi  menyemarakkan sambutan Jubli Perak MPOB. Penganjuran Malam Gala  Jubli Perak MPOB, pembuka tirai sambutan, yang bukan sahaja meraikan  pencapaian MPOB, malah memperkukuh hubungan silaturahim dan  kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan dalam industri. 
  2. Antara program sambutan yang akan dilaksanakan termasuk Hari  Terbuka MPOB yang akan diadakan di Ibu Pejabat dan Stesen  Penyelidikan, dan Pertandingan Video Kreatif MPOB. Pada tahun 2025,  MPOB juga akan menganjurkan beberapa acara utama seperti Transfer of Technology (TOT 2025) dan MPOB International Palm Oil Congress  and Exhibition (PIPOC 2025) yang bakal menghimpunkan lebih 2,000  peserta dari seluruh dunia. Upacara penutup sambutan Jubli Perak  MPOB akan disempurnakan dengan penganjuran Majlis Anugerah  Kecemerlangan MPOB 2025 yang akan berlangsung pada penghujung  tahun 2025. Majlis berprestij ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian  warga MPOB dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, inovasi,  pengkomersialan teknologi, perkhidmatan sokongan, serta kepimpinan.  

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

  1. Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi  terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri, atas kepimpinan yang  teguh serta sokongan berterusan kementerian, barisan pengurusan  MPOB yang telah memacu organisasi ini dengan penuh dedikasi dan  komitmen, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada kementerian,  agensi kerajaan, persatuan dalam industri, syarikat swasta, pertubuhan  bukan kerajaan serta rakan-rakan media atas jalinan kerjasama dan  kepercayaan, serta seluruh warga MPOB, atas sumbangan, dedikasi dan  komitmen dalam menjayakan agenda pembangunan industri sawit  negara. 
  2. Dengan sokongan semua pihak, MPOB bertekad untuk terus  menjadi peneraju pembangunan dan penyelidikan, memperkukuh  jaringan global dan membangun ekosistem sawit yang inklusif, mampan  dan berdaya saing. Harapan kita bersama agar industri sawit terus  menjadi lambang kekuatan dan kemampanan Malaysia di peringkat  antarabangsa.

Sidang hadirin yang saya hormati, 

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan  penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani,  Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian hadir dan  menyempurnakan Malam Gala Jubli Perak MPOB. 
  2. Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah  kepada para penerima anugerah dan penghargaan. Semoga  pengiktirafan dan kejayan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan  berterusan industri sawit. 
  3. Sekalung penghargaan juga kepada jawatankuasa penganjur dan  semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama bagi  menjayakan majlis yang amat bermakna ini. 

Sekian, terima kasih.