UCAPAN ALU – ALUAN YBHG. DATUK DR. AHMAD PARVEEZ HJ. GHULAM KADIR KETUA PENGARAH MPOB SEMPENA PROGRAM SKIM INSENTIF PEMBIAYAAN TANAM SEMULA PEKEBUN KECIL SAWIT (TSPKS 2.0) DAERAH KUDAT, SABAH

Assalamualaikum WBT, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

2. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan kerana dengan izin-Nya kita dapat berhimpun dalam Majlis Berbuka Puasa bersama Yang Berhormat Menteri Perladangan dan Komoditi pada petang yang penuh keberkatan ini. Bagi pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), saya mengalu-alukan kehadiran semua tetamu, khususnya wakil-wakil agensi, rakan-rakan industri, pengamal media serta para pekebun kecil. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan amat bermakna yang mencerminkan kesepaduan warga industri sawit.

3. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Menteri Perladangan dan Komoditi kerana sudi meluangkan masa bersama-sama kita pada majlis ini. Kehadiran YB Menteri bukan sahaja menambah seri majlis, tetapi juga memberi inspirasi kepada semua pihak untuk terus berkhidmat dan menyumbang kepada pembangunan industri sawit negara.

4. Penganjuran majlis ini bukan sekadar satu acara berbuka puasa, tetapi platform memperkukuh jaringan kerjasama antara kerajaan, agensi pelaksana, pemain industri dan komuniti pekebun kecil. Dalam suasana santai dan penuh kebersamaan ini, kita berpeluang bertukar pandangan serta mempererat hubungan yang menjadi asas kekuatan industri kita.

Hadirin yang dihormati,

5. Sebagai agensi peneraju penyelidikan dan pembangunan industri sawit negara, MPOB terus menumpukan usaha kepada penyampaian perkhidmatan yang berkesan merangkumi inovasi teknologi, pemindahan ilmu serta sokongan teknikal di lapangan. Fokus kami adalah memastikan dapatan penyelidikan benar-benar memberi manfaat praktikal kepada industri dan meningkatkan produktiviti secara menyeluruh.

6. Dalam konteks pekebun kecil, MPOB komited memperluas capaian khidmat nasihat melalui pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) di seluruh negara, termasuk di Kelantan. Usaha ini memberi penekanan kepada amalan agronomi baik, pematuhan pensijilan serta perancangan penanaman semula yang lebih tersusun agar pendapatan pekebun kecil terus terpelihara dalam jangka panjang.

7. Bagi pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), pelaksanaan dalam kalangan Pekebun Kecil Persendirian di bawah
seliaan MPOB menunjukkan perkembangan positif. Bagi Negeri Kelantan, sebanyak dua (2) Kelompok Penanam Sawit Mampan (SPOC) telah dipersijilkan melibatkan seramai 2,014 pekebun kecil dengan tanaman sawit seluas 6,368.96 hektar. Bagi kawasan Pasir Mas dan Kota Bharu (SPOC D2) seramai 1,242 pekebun kecil telah dipersijilkan dengan keluasan tanaman 1,988.75 hektar.

8. Selain itu, melalui Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), MPOB terus membantu kebun-kebun
sawit yang kurang produktif. Walaupun jumlah permohonan di Kelantan masih sederhana, usaha berterusan sedang digerakkan bagi meningkatkan penyertaan supaya manfaatnya dapat diperluaskan.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

9. Industri sawit Malaysia berdiri atas asas kerjasama yang kukuh antara sektor awam dan swasta. MPOB akan terus memainkan peranan sebagai pemudah cara dan rakan strategik kepada semua pihak, memastikan penyelidikan, peraturan dan perkhidmatan lapangan bergerak selari demi kepentingan industri dan kesejahteraan komuniti yang bergantung kepadanya.

10. Penyelidikan yang dijalankan oleh MPOB dalam segenap aspek industri sawit menghasilkan teknologi dan inovasi yang sedia untuk dikomersialkan oleh para usahawan dan syarikat tempatan. Pada petang ini juga MPOB menjemput usahawan tempatan menyertai majlis kita ini untuk meneroka peluang pengkomersialan teknologi MPOB khususnya dalam pengeluaran produk makanan, kesihatan, dan penjagaan diri berasaskan sawit bagi merancakkan perusahaan dan sosioekonomi di Negeri Kelantan.

11. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggitinggi penghargaan kepada pihak kementerian, pemain industri, dan warga kerja MPOB yang telah bertungkus-lumus membina legasi kecemerlangan ini. Dedikasi dan pengorbanan
tuan-tuan dan puan adalah kunci kepada ketahanan sektor komoditi yang amat penting bagi Malaysia.

12. Pada kesempatan ini, saya merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri atas kepimpinan dan sokongan berterusan kepada agensi-agensi di bawah kementerian. Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya menyampaikan dua rangkap pantun:

Subur menghijau meranti dan jati,
Tumbuh merimbun di hujung muara;
Pekebun kecil sentiasa di hati,
Industri sawit pemacu negara.
Manis sungguh si buah kurma,
Buat juadah waktu berbuka;
Kemakmuran sawit dinikmati bersama,
Tiada yang cicir semua terjaga.

13. Akhir kata, semoga majlis pada petang ini mempererat hubungan dan membawa manfaat berpanjangan kepada kita semua.
Sekian, Wabillahitaufik Walhidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services