SIARAN MEDIA
Untuk Siaran Segera
MPOB perluas peluang pengkomersialan teknologi berasaskan sawit kepada usahawan Kelantan
KOTA BHARU, 11 Mac 2026 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), agensi peneraju penyelidikan dan kawal selia industri sawit negara terus memperluas usaha memperkasa ekosistem keusahawanan tempatan melalui pengkomersialan teknologi berasaskan sawit.
Sesi libat urus pengkomersialan teknologi MPOB diadakan sempena lawatan kerja Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad ke Kelantan. Inisiatif yang bertujuan untuk memperluaskan pemindahan teknologi berasaskan sawit, hasil penyelidikan MPOB kepada usahawan serta penggiat industri di negeri Kelantan.
MPOB menawarkan lebih 200 teknologi berasaskan sawit untuk dikomersialkan oleh usahawan dan penggiat industri, yang menyumbang pembangunan produk bernilai tambah dan seterusnya meningkatkan daya saing perniagaan.
Dalam lawatan kerja ke Kelantan, Datuk Seri Dr. Noraini turut melawat kebun sawit yang diusahakan oleh Faridah Shapi-i dan Shuriati Husin. MPOB melalui Pejabat Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB di seluruh negara menyedia khidmat nasihat dan pemindahan teknologi terkini penanaman sawit kepada pekebun kecil.
MPOB turut mengadakan demonstrasi penggunaan prototaip jentera sokongan lengan Manipulator Arm Support iaitu alat bantuan mekanikal yang direka untuk menyokong dan menampung beban alat penuaian sawit semasa lawatan ke kebun sawit pekebun kecil.
Pengerusi MPOB, Datuk Mohamad Helmy Othman Basha, berkata inovasi mekanikal tersebut berupaya meningkatkan kecekapan operasi penuaian serta mengurangkan kebergantungan kepada kekuatan fizikal pekerja ladang.
“Teknologi ini mampu mengalihkan sepenuhnya berat alat penuaian sawit, sekali gus membolehkan sesiapa sahaja mengendalikan alat tersebut dengan lebih mudah dan selamat. Inovasi seperti ini bukan sahaja meningkatkan produktiviti, malah membantu menjadikan sektor perladangan sawit lebih inklusif serta mesra tenaga kerja,” katanya.
“Kementerian, melalui MPOB menyediakan sokongan dan bimbingan bersepadu kepada para usahawan bermula daripada pemilihan teknologi, penilaian kapasiti perniagaan, penyediaan kontrak pengkomersialan sehingga sokongan pada peringkat pasca-pengkomersialan bagi memastikan kejayaan produk yang dikomersialkan,”katanya.
Beliau turut menggalakkan usahawan serta penggiat industri di Kelantan untuk memanfaatkan peluang yang disediakan bagi meneroka potensi komersial teknologi sawit.
“Saya berharap lebih ramai penggiat industri serta usahawan Negeri Kelantan tampil mengambil peluang untuk mengkomersialkan pelbagai teknologi inovatif yang dibangunkan oleh MPOB. Usaha ini bukan sahaja dapat memperkukuh daya saing industri tempatan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan komuniti setempat,” tambah beliau.
Datuk Seri Dr. Noraini turut menghadiri majlis berbuka puasa bersama pertubuhan usahawan, komuniti perniagaan tempatan serta golongan asnaf di Kota Bharu bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara Kementerian, agensi kerajaan, komuniti usahawan dan masyarakat setempat.
Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0), Sijil Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) kepada pekebun kecil serta Geran Pembinaan Pusat Timbang kepada Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) Jajahan Machang Berhad.