UCAPAN ALU – ALUAN YBHG. DATUK DR. AHMAD PARVEEZ HJ. GHULAM KADIR KETUA PENGARAH MPOB SEMPENA PROGRAM SKIM INSENTIF PEMBIAYAAN TANAM SEMULA PEKEBUN KECIL SAWIT (TSPKS 2.0) DAERAH KUDAT, SABAH
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama menghadiri majlis pada hari ini.
- Saya ingin mengucapkan setinggi–tinggi terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya untuk merasmikan Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Sungai Terbuang 2 di Kampung Batu 20, daerah Batu Kurau, Perakpada hari ini.
- Projek JLPK Sungai Terbuang 2 ini adalah manifestasi usaha dan komitmen MPOB untuk Program Santuni Madani Kampung Angkat “Satu Pemimpin Satu Kampung”. Justeru itu, Kampung Batu 20, telah dipilih bersempena dengan tempat kelahiran saya yang terletak di daerah Larut Matang dan Selama. Pemilihan kampung ini juga dibuat berdasarkan perbincangan bersama Penghulu dan Ketua Kampung dengan mengambil kira keperluan serta isu yang dihadapi oleh penduduk setempat dan memastikan mereka terus menikmati kemajuan yang seimbang serta merapatkan jurang sosioekonomi antara bandar dan luar bandar.
- Untuk makluman hadirin, saya dan juga MPOB sentiasa mengambil berat tentang kebajikan dan keperluan penduduk setempat terutamanya di Kampung Batu 20, Batu Kurau ini yang juga terlibat dengan usaha penanaman sawit. Penganjuran majlis pada hari ini merupakan pembabitan MPOB kali ketiga selepas acara sebelum ini yang diadakan bersama penduduk setempat iaitu Majlis Berbuka Puasa Santuni Madani dan juga Program Pemimpin Satu Kampung Santuni Madani yang telah diadakan pada tahun lalu.
Tuan-tuan dan Puan-puan, - MPOB sentiasa prihatin kepada penduduk Kampung Batu 20 bukan sahaja dari segi infrastruktur, malah aspek kemudahan asas untuk Masjid Jamek Kg. Yaman Batu 20, MPOB telah mebiayai pemasangan karpet baharu melalui Tabung Derma oleh Persatuan Kebajikan Kakitangan Islam MPOB (PKKIM) berjumlah RM20,000. Manakala peruntukan bagi pembinaan bilik mandi jenazah serta baik pulih dewan serba guna masjid, telah dipohon serta diteruskan melalui peruntukan Pejabat Pembangunan Negeri (ICU) Perak berjumlah RM100,000.
Sidang hadirin sekalian,
- Sukacita saya ingin maklumkan, menerusi pembentangan Belanjawan MADANI 2026, Kerajaan telah mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta bagi penyelenggaraan dan pembangunan jalan ladang di seluruh negara bagi menambah baik kemudahan laluan dan kelancaran operasi ladang bagi pekebun kecil. Sehingga 30 November 2025, sebanyak tujuh projek telah diluluskan di Negeri Perak dengan peruntukan berjumlah RM1.7 juta, termasuk Projek JLPK Sungai Terbuang 2 berjumlah RM247,986 untuk skop bantuan pembinaan jambatan dan jalan pertanian pekebun kecil.
- Dengan siapnya jambatan JLPK Sungai Terbuang 2 ini pada November 2025 saya melihat laluan ini bukan sekadar menghubungkan beberapa kawasan, tetapi mengubah kehidupan melalui jaringan laluan ekonomi, memendekkan perjalanan dan menjimatkan masa terutama kepada penduduk setempat bagi pelbagai urusan harian terutama untuk melakukan aktiviti seperti penuaian dan mengalih Tandan Buah Segar (TBS) untuk dihantar ke pusat timbang, membekalkan baja dan racun di ladang sawit.
Hadirin sekalian,
- Saya berasa amat bangga apabila pelaksanaan projek JLPK Sungai Terbuang 2 ini menepati jadual, malah mencapai semua KPI (key performance indicator)yang ditetapkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR)termasuk penggunaan tenaga hijau, serta penyerahan projek kepada pihak kontraktor dalam tempoh tiga bulan selepas CPC (certificate of practical completion). Ini adalah tanda kecekapan dan komitmen yang tinggi daripada semua pihak yang terlibat. Kejayaan ini adalah hasil komitmen semua pihak daripada pegawai pengurusan hingga ke pasukan pelaksana, pihak berkuasa tempatan, syarikat utiliti, dan kontraktor utama. Tanpa penglibatan dan semangat kerja berpasukan ini, projek JLPK Sungai Terbuang 2 ini tidak akan dapat direalisasikan sebaik yang kita saksikan pada hari ini. Saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat yang menjayakan pelaksanaan projek ini dengan cemerlang.
- Akhir sekali, saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada seluruh warga MPOB terutama Pejabat MPOB Cawangan Taiping, TUNAS Zon Utara 2 yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan projek yang dirancang dilaksanakan dengan jayanya. Tidak dilupakan juga penglibatan dan bantuan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Pejabat Daerah dan Tanah Larut Matang dan Selama yang bersama-sama menjayakan projek ini.Semoga usaha kita hari ini membawa kebaikan dan kejayaan yang berterusan untuk semua terutamanya kepada pekebun kecil sawit yang menjadi teras kepada sektor ini.
- Saya berharap JLPK Sungai Terbuang 2 ini menjadi pemangkin kepada kemudahan, keselamatan dan kesejahteraan buat semua penduduk di Kampung Batu 20 ini. Setiap jalan yang dibina bukan sekadar menghubungkan tempat, tetapi membuka ruang kepada kemajuan dan masa depan yang lebih baik. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK) Kampung Sungai Terbuang 2, Kg. Batu 20, Batu Kurau, Perak.
Wabillahi Taufiq wal Hidayah Wassalamualaikum.
Sekian, terima kasih.