TEKS UCAPAN ALU – ALUAN

YBHG. DATUK DR. AHMAD PARVEEZ HJ. GHULAM KADIR

KETUA PENGARAH MPOB


SEMPENA

PROGRAM SKIM INSENTIF PEMBIAYAAN TANAM SEMULA PEKEBUN KECIL SAWIT (TSPKS 2.0) DAERAH KUDAT, SABAH 17 JULAI 2025

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI. 

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama hadir dan menjayakan Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) di daerah Kudat, Sabah pada pagi yang mulia ini. 

  1. Saya diamanahkan oleh Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk menyampaikan ucapan alu-aluan bagi pihak beliau. Beliau memohon maaf kerana tidak dapat hadir bersama tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini, dan menitipkan harapan agar seluruh perjalanan program pada hari ini berjalan dengan lancar.
  1. Bagi pihak MPOB, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, di atas kesudian YB Timbalan Menteri untuk hadir serta menyempurnakan majlis pada hari ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

  1. MPOB adalah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berperanan membangun dan memajukan industri sawit negara. Fungsi utama MPOB adalah menjalankan penyelidikan dan pembangunan dalam semua aspek sawit dan disokong aktiviti kawal selia industri bagi memastikan kemajuan industri sawit yang mampan, berdaya saing dan teratur.

  2. Penganjuran program pada hari ini merupakan salah satu inisiatif pihak Kerajaan melalui MPOB dalam memperkukuh dan memperkasa industri sawit negara, khususnya dalam kalangan pekebun kecil. Program ini bertujuan untuk menyampaikan penerangan serta hebahan maklumat mengenai Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) bagi menyokong kerja-kerja penanaman semula sawit, terutamanya untuk pekebun kecil persendirian di daerah Kudat. 

  3. Selain itu, program ini turut menjadi platform untuk kita berkongsi maklumat mengenai kepentingan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Ia bertujuan menggalakkan pekebun kecil mengamalkan amalan pertanian baik serta memenuhi piawaian antarabangsa, yang akhirnya dapat memberikan manfaat dan keuntungan berganda kepada mereka.

  4. Program pada hari ini juga memberi peluang kepada tuan-tuan dan puan-puan untuk memperoleh ilmu dalam mengenal pasti dan memilih anak benih sawit berkualiti bagi memastikan hasil yang lebih baik pada masa akan datang. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat memanfaatkan kesempatan ini sebaik mungkin untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi pandangan demi kepentingan bersama. 

Sidang Hadirin,

  1. MPOB sedang giat menjalankan usaha untuk menggalakkan pekebun kecil persendirian menyertai Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC. Melalui penubuhan SPOC, pekebun kecil sawit dibantu oleh Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit atau TUNAS MPOB untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di kebun masing-masing.

  2. MPOB telah menubuhkan 29 SPOC di negeri Sabah. Setakat 30 Jun 2025, seluas 191,193.41 hektar ladang sawit milik 30,768 orang pekebun kecil sawit telah mendapat Pensijilan MSPO.  Bilangan pekebun kecil bersijil bagi SPOC S3 di daerah Kudat adalah seramai 888 orang dengan keluasan 5,357.42 hektar.

  3. Saya menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan untuk berhubung dengan pegawai MPOB berdekatan untuk mendapatkan khidmat nasihat penanaman sawit serta maklumat terkini mengenai kursus dan penjagaan tanaman sawit.  Tuan-tuan dan puan-puan juga boleh datang ke mana-mana pejabat MPOB di seluruh negeri Sabah untuk mendapatkan maklumat mengenai insentif yang disediakan oleh Kerajaan serta bantuan untuk perlindungan daripada serangga dan kulat perosak.  

Hadirin sekalian,

  1. Di bawah inisiatif Kementerian melalui MPOB, sebanyak 70 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara, termasuk 28 buah yang beroperasi di Sabah. Penubuhan KPSM bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi pelaksanaan amalan pertanian baik atau GAP untuk Pensijilan MSPO dan aktiviti ekonomi melalui jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang. 
  2. Jumlah keahlian KPSM di Sabah kini seramai 2,875 orang, manakala di daerah Kudat, terdapat (1) satu KPSM iaitu KPSM Sikuati Berhad dengan keahlian seramai 72 orang.

  3. Salah satu inisiatif MPOB adalah penganjuran Program Kaunter Bergerak MPOB atau Hari Bertemu Pelanggan. Sehingga kini, sebanyak 29 program telah dianjurkan dengan penyertaan 1,455 orang pekebun kecil sawit persendirian di Sabah. Inisiatif ini selaras dengan aspirasi Kementerian untuk memperkukuh jaringan bersama pekebun kecil serta memastikan khidmat nasihat dan sokongan teknikal yang efektif dapat disampaikan terus ke lapangan.

Sidang hadirin,

  1. Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, atas kesudian beliau untuk hadir dan menyempurnakan Program Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) daerah Kudat pada hari ini. Kehadiran Yang Berhormat adalah satu penghormatan besar dan memberikan dorongan yang amat penting kepada kita semua dalam menjayakan usaha-usaha yang memanfaatkan pekebun kecil sawit di negara ini.

  2. Tidak ketinggalan juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir dalam program ini. Semoga program yang kita jalankan hari ini berjalan lancar dan memberi manfaat yang besar kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya kepada pekebun kecil sawit yang menjadi teras kepada sektor ini. 

  3. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja MPOB yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan majlis ini berlangsung dengan jayanya. Semoga usaha kita hari ini membawa kebaikan dan kejayaan yang berterusan untuk semua.

Wabillahi Taufiq wal Hidayah Wassalamualaikum.
Sekian, terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services