UCAPAN ALU-ALUAN
YBRS. EN. YAKUP IBRAHIM
KETUA PEJABAT MPOB WILAYAH SABAH

SEMPENA
PROGRAM PEMANTAPAN MSPO PEKEBUN KECIL SAWIT PERSIANGAN SABAH

ISNIN, 9 JUN 2025
DEWAN TERBUKA DAERAH NABAWAN

Bismillahirrahmanirrahim
Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK)

Yang Berusaha En. Severinus Tukah
Setiausaha Bahagian Kanan (SUBK)
Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)

Yang Berusaha En. Amran Ariffin,
Penyelaras TUNAS,
Pejabat MPOB Wilayah Sabah, 

Ketua-ketua Jabatan,

Rakan-rakan media,

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI. 

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama hadir dan menjayakan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sawit di Pensiangan, Sabah. Bagi pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), saya ingin mengucapkan selamat datang dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, atas kesudian hadir menyempurnakan majlis pada hari ini. 

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

  1. MPOB adalah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berperanan membangun dan memajukan industri sawit negara. Fungsi utama MPOB adalah menjalankan penyelidikan dalam semua aspek sawit dan disokong aktiviti kawal selia industri bagi memastikan kemajuan industri sawit yang mampan, berdaya saing dan teratur. MPOB juga dipertanggungjawabkan untuk memperkasa pekebun kecil sawit melalui khidmat nasihat penanaman sawit serta melaksanakan insentif yang disediakan oleh pihak Kerajaan. 
  1. Penganjuran program pada hari ini merupakan salah satu pendekatan turun padang untuk bersama dengan pekebun kecil sawit dan menyampaikan penerangan dan hebahan maklumat mengenai Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan insentif-insentif yang disediakan oleh Kerajaan. Penganjuran program pekebun kecil ini juga menyedia ruang untuk berkongsi maklumat mengenai KPSM, untuk manfaat kepada pekebun-pekebun kecil dalam meningkatkan daya saing dan kebun sawit. 

Sidang Hadirin,

  1. MPOB giat menjalankan usaha untuk menggalakkan pekebun kecil persendirian menyertai Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC. Melalui penubuhan SPOC, pekebun kecil sawit dibantu oleh Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit atau TUNAS MPOB untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya mendapat Pensijilan MSPO di kebun masing-masing. 

 

  1. Para pekebun kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat penanaman sawit di pejabat MPOB termasuk Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu, Stesen Sandakan, Pejabat Keningau, Pejabat Kota Marudu, Pejabat Beluran, Pejabat Beaufort, Stesen MPOB Lahad Datu, Pejabat Tawau, Pejabat Kinabatangan, Pejabat Ranau, Pejabat Semporna dan Pejabat Telupid. 

 

  1. Bagi persediaan Pensijilan MSPO pekebun kecil sawit, MPOB telah menubuhkan 29 SPOC di negeri Sabah. 

 

  1. Dalam pelaksanaan Program Kaunter MPOB atau Hari Bertemu Pelanggan, sehingga kini, sebanyak 21 program telah dianjurkan dengan penyertaan lebih daripada 1,006 orang pekebun kecil sawit persendirian di Sabah.

 

Hadirin sekalian,

  1. Kementerian melalui MPOB juga telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan atau KPSM di seluruh negara. Penubuhan KPSM bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi pelaksanaan amalan pertanian baik atau GAP untuk Pensijilan MSPO dan aktiviti ekonomi melalui jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang. 
  1. Sebanyak 70 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara, dengan 28 daripadanya berada di Sabah. Jumlah keahlian KPSM di Sabah kini seramai 2,853 orang. Manakala untuk di Pensiangan, terdapat satu (1) KPSM iaitu KPSM Daerah Keningau Sabah Berhad dengan hanya mempunyai 382 orang ahli. Oleh itu, saya ingin menyeru para pekebun kecil untuk mengambil peluang ini dan menyertai KPSM.

 

Sidang hadirin yang dihormati,

  1. Penanaman sawit termasuk di Pensiangan telah memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Syabas dan tahniah kepada pekebun kecil atas komitmen semua dalam memajukan sektor ini.



  1. Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, atas kesudian beliau untuk hadir dan menyempurnakan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sawit Pensiangan, Sabah pada hari ini. Kehadiran Yang Berhormat adalah satu penghormatan besar dan memberikan dorongan yang amat penting kepada kita semua dalam menjayakan usaha-usaha yang memanfaatkan pekebun kecil sawit di negara ini.

 

  1. Tidak ketinggalan juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir dalam program ini. Semoga program yang kita jalankan hari ini berjalan lancar dan memberi manfaat yang besar kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya kepada pekebun kecil sawit yang menjadi teras kepada sektor ini. 

Akhir sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja MPOB yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan majlis ini berlangsung dengan jayanya. Tanpa usaha dan dedikasi anda semua, kejayaan program ini tidak mungkin tercapai. Terima kasih sekali lagi, dan semoga usaha kita hari ini membawa kebaikan dan kejayaan yang berterusan untuk semua.

Wabillahi Taufiq wal Hidayah Wassalamualaikum.

Sekian, terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services