UCAPAN ALU-ALUAN
YBHG. DATUK MOHAMAD HELMY OTHMAN BASHA, PENGERUSI LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)

SEMPENA
MAJLIS PELUNCURAN PROJEK RINTIS PENGGUNAAN 
BIODIESEL SAWIT B20 BAGI GROUND SERVICE EQUIPMENT DI KLIA

KHAMIS, 29 MEI 2025
HOTEL SAMA-SAMA, 
LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KLIA

Bismillahirrahmanirrahim

Yang Berhormat Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani
Menteri Perladangan dan Komoditi
Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Dato’ Yusran Shah bin Mohd Yusof
Ketua Setiausaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK)
Yang Berbahagia Dato’ Jana Santhiran Muniayan
Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan
Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
Yang Berbahagia Dato’ Mohd Izani Ghani
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB)
Yang Berusaha Encik Azrul Othman Rani
Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Berhad

Dif-dif Kehormat,
Rakan-rakan Media,
Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, dan
Salam Malaysia MADANI.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan
terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani,
Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian meluangkan masa hadir
ke Majlis Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 bagi
Ground Service Equipment (GSE) di KLIA pada hari ini. Sekalung
penghargaan juga saya tujukan kepada rakan-rakan kolaborasi, para
penggiat industri, dan semua tetamu yang turut hadir pada majlis hari ini.

2. Majlis ini merupakan satu manifestasi penting dalam usaha
berterusan negara memperkasa penggunaan tenaga lestari dan
menyokong agenda dekarbonisasi industri. Pelaksanaan projek rintis
ini juga mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta dalam
memperkukuh daya saing industri sawit negara melalui inovasi berimpak
tinggi.

Sidang hadirin sekalian,
3. Sebagai agensi utama yang dipertanggungjawabkan untuk memacu
kemajuan industri ini, Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
memainkan peranan penting melalui aktiviti penyelidikan dan
pembangunan (R&D) dalam semua aspek sawit. Usaha ini bertujuan untuk
memastikan minyak sawit Malaysia bukan sahaja memenuhi keperluan

pelbagai sektor pasaran global, tetapi juga dihasilkan secara mampan dan
selaras dengan piawaian dan permintaan antarabangsa.

Tuan-tuan dan puan-puan,

4. Projek rintis penggunaan B20 merupakan kesinambungan kepada
inisiatif pembangunan biodiesel yang dimulakan oleh MPOB, di mana
melibatkan pembangunan teknologi watan dan melakar sejarah dengan
pembinaan kilang biodiesel pertama negara pada tahun 2005. Kini,
sebanyak 18 kilang biodiesel beroperasi dengan kapasiti pengeluaran
mencecah 2.3 juta tan setahun.

5. Bagi projek rintis penggunaan B20 di KLIA, sebanyak lima syarikat
pengendali kenderaan dan jentera perkhidmatan darat (GSE) telah
memberi komitmen untuk menggunakan biodiesel B20 iaitu campuran 20
peratus biodiesel berasaskan sawit dan 80 peratus diesel petroleum
dengan unjuran sebanyak 40,000 liter sebulan.

6. MPOB memainkan peranan penting dalam menyokong pelaksanaan
bagi kajian penggunaan biodiesel sehingga B30. Program Biodiesel
Negara diperkasakan melalui input hasil kajian teknikal dan ujian lapangan
bersama rakan industri, institusi akademik serta pengeluar kenderaan
seperti Japan Automotive Manufacturer Association (JAMA). Usaha
bersepadu ini bertujuan memastikan prestasi, keselamatan dan
kesesuaian penggunaan biodiesel sebelum pelaksanaan secara meluas diperingkat nasional.
Kajian MPOB telah membuktikan bahawa penggunaan
biodiesel, termasuk sehingga B30, memberi manfaat kepada enjin dan
menyumbang secara signifikan kepada pengurangan pelepasan gas
rumah kaca (GHG).

Hadirin yang dihormati,

7. Di samping menyokong aspirasi negara untuk mencapai pelepasan
karbon sifar menjelang tahun 2050, penggunaan biodiesel turut
menawarkan kelebihan daripada segi kos berbanding bahan api alternatif
lain. Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh MPOB, penggunaan
biodiesel sawit bukan sahaja dapat mengurangkan GHG, malah bebas
sulfur, yang berpotensi mengurangkan sehingga 100 tan pelepasan sulfur
setahun bagi pelaksanaan program B20. Ini disokong melalui unjuran
pengurangan sehingga 13 peratus pelepasan gas rumah kaca (GHG)
bersamaan 105 tan setara karbon dioksida (CO2) setahun berbanding
minyak diesel petroleum bagi kegunaan kenderaan syarikat pengendali
operasi jentera darat. Tambahan pula, biodiesel turut memberikan
kelebihan teknikal seperti pengurangan kehausan enjin serta peningkatan
kecekapan proses pembakaran, sekali gus menyumbang kepada prestasi
kenderaan yang lebih baik dan penyelenggaraan yang lebih cekap.

8. Selain daripada pelaksanaan projek rintis B20 di KLIA, MPOB turut
melaksanakan projek rintis serupa di beberapa pelabuhan utama negara
seperti Pelabuhan Klang Utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan
Johor dan Pelabuhan Kuching. MPOB amat mengalu-alukan kerjasama
daripada pemain-pemain industri yang berminat untuk menyertai program
B20. MPOB bersedia untuk menyediakan khidmat nasihat teknikal serta
mengadakan perbincangan lanjut bagi menjayakan pelaksanaan projek
percubaan B20 secara menyeluruh dan berkesan.

Sidang hadirin yang dihormati,

9. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menjaga bumi yang
kita diami ini untuk generasi akan datang. Projek rintis ini adalah satu
langkah ke arah kemampanan yang memelihara alam sekitar kita.
Dengan menggunakan biodiesel sawit, kita bukan sahaja mengurangkan
pergantungan kepada bahan api fosil, malah turut memperkasakan
pekebun kecil sawit dan komuniti setempat yang terlibat dalam industri
sawit. Ini adalah bukti bahawa pembangunan mampan dan ekonomi boleh
berjalan seiring, memberi manfaat kepada rakyat dan alam sekitar secara
serentak.

10. Selain itu, kejayaan projek ini juga merupakan hasil daripada
kerjasama erat dan semangat berpasukan antara pelbagai pihak
termasuklah agensi kerajaan, pihak industri, penyelidik dan komuniti. Inilah
semangat yang perlu kita teruskan dalam menghadapi cabaran global
seperti perubahan iklim dan krisis tenaga. Saya percaya dengan terus
memperkukuh kolaborasi sebegini, Malaysia mampu menjadi contoh
kepada negara-negara lain dalam memperjuangkan teknologi hijau dan
inovasi mampan yang berimpak tinggi

Tuan-tuan dan puan-puan,
11. Saya yakin, pelaksanaan projek rintis B20 di KLIA hari ini akan
memberi impak yang positif dan signifikan kepada sektor industri dan
membuka laluan kepada perluasan penggunaan biodiesel dalam sektor
industri lain. Kami berharap inisiatif ini akan terus mendapat sokongan
padu daripada semua pihak berkepentingan.

12. Akhir kata, sekali lagi saya ingin merakamkan penghargaan kepada
Yang Berhormat Menteri serta semua pihak yang menjayakan
pelaksanaan projek dan majlis pada hari ini. Semoga usaha ini menjadi
pemangkin kepada peluasan penggunaan biodiesel sawit di peringkat
nasional, sekali gus memperkukuh daya saing dan kemampanan industri
sawit negara di persada antarabangsa.

Sekian, terima kasih.

Printed Publication SPOTME Number of Online Services