UCAPAN ALU-ALUAN
YBHG. DATUK DR. AHMAD PARVEEZ HJ. GHULAM KADIR,
KETUA PENGARAH
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA
SEMPENA
PROGRAM PEMANTAPAN MSPO PEKEBUN KECIL SAWIT DAERAH LAHAD DATU,SABAH
ISNIN, 28 APRIL 2025
DEWAN PLASMA, LAHAD DATU
Bismillahirrahmanirrahim
Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK)
Yang Berhormat Dato’ Mohammad Yusof Apdal
Ahli Parlimen P.188 Lahad Datu
Ketua-ketua Jabatan,
Rakan-rakan media,
Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabaraakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia dan izin-Nya, maka dapat kita bersama-sama hadir dan menjayakan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Sawit di daerah Lahad Datu, Sabah. Bagi pihak Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, atas kehadiran YB Timbalan Menteri untuk menyempurnakan majlis pada hari ini.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
- MPOB adalah agensi di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berperanan membangun dan memajukan industri sawit negara. Fungsi utama MPOB adalah menjalankan penyelidikan dalam semua aspek sawit dan disokong aktiviti kawal selia industri bagi memastikan kemajuan industri sawit yang mampan, berdaya saing dan teratur.
- Penganjuran program pada hari ini merupakan salah satu pendekatan turun padang Kerajaan untuk bersemuka dengan pekebun kecil sawit terutamanya di Sabah selain menyampaikan penerangan dan hebahan maklumat mengenai Skim Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan juga insentif-insentif yang disediakan oleh Kerajaan. Selain itu, program ini juga memberikan ruang untuk kita berkongsi maklumat mengenai kelebihan menyertai Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM), yang dapat memberi manfaat kepada pekebun-pekebun kecil dalam meningkatkan daya saing dan keberkesanan pengurusan operasi ladang mereka. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat memanfaatkan peluang ini sebaik mungkin untuk mendapatkan maklumat serta berkongsi pandangan demi kepentingan bersama.
Sidang Hadirin,
- Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) melalui MPOB sedang giat menjalankan usaha untuk menggalakkan pekebun kecil persendirian menyertai Kelompok Minyak Sawit Mampan atau SPOC. Melalui penubuhan SPOC, pekebun kecil sawit dibantu oleh Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit atau TUNAS MPOB untuk melaksanakan amalan pertanian baik dan seterusnya mendapat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di kebun masing-masing.
- Para pekebun kecil boleh mendapatkan khidmat nasihat penanaman sawit di dua belas (12) buah pejabat MPOB termasuk Stesen MPOB Lahad Datu, Pejabat Wilayah Sabah di Kota Kinabalu, Pejabat Keningau, Pejabat Kota Marudu, Pejabat Beaufort, Pejabat Beluran, Stesen Sandakan, Pejabat Tawau, Pejabat Ranau, Pejabat Kinabatangan, Pejabat Semporna dan Pejabat Telupid.
- Bagi persediaan Pensijilan MSPO pekebun kecil sawit, MPOB telah menubuhkan 29 SPOC di negeri Sabah. Sukacita saya ingin maklumkan setakat 31 Mac 2025, seluas 191,204.27 hektar ladang sawit milik 30,768 orang pekebun kecil sawit telah mendapat Pensijilan MSPO.
- Dalam pelaksanaan Program Kaunter MPOB atau Hari Bertemu Pelanggan, sehingga kini, sebanyak 17 program telah dianjurkan dengan penyertaan lebih daripada 597 orang pekebun kecil sawit persendirian di Sabah.
Hadirin sekalian,
- Kementerian melalui MPOB juga telah menubuhkan Koperasi Penanam Sawit Mampan atau KPSM di seluruh negara. Penubuhan KPSM bertujuan menyatukan pekebun kecil sawit bagi pelaksanaan amalan pertanian baik atau GAP untuk Pensijilan MSPO dan aktiviti ekonomi melalui jualan buah tandan segar sawit secara berkelompok terus ke kilang.
- Sebanyak 70 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) telah ditubuhkan di seluruh negara, dengan 28 daripadanya berada di Sabah. Jumlah keahlian KPSM di Sabah kini seramai 2,853 orang, manakala di daerah Lahad Datu, KPSM Daerah Tungku Berhad hanya mempunyai 109 ahli. Oleh itu, saya ingin menyeru para pekebun kecil untuk mengambil peluang ini dan menyertai KPSM bagi menikmati pelbagai manfaat yang ditawarkan.
Sidang hadirin yang dihormati,
- Penanaman sawit termasuk di Lahad Datu telah memainkan peranan penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi serta membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Syabas dan tahniah kepada pekebun kecil di daerah Lahad Datu atas komitmen semua dalam memajukan sektor ini.
- Sebelum mengakhiri ucapan, izinkan saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Datuk Chan Foong Hin, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, atas kesudian beliau untuk hadir dan menyempurnakan Program Pemantapan MSPO Pekebun Kecil Daerah Lahad Datu, Sabah pada hari ini. Kehadiran Yang Berhormat adalah satu penghormatan besar dan memberikan dorongan yang amat penting kepada kita semua dalam menjayakan usaha-usaha yang memanfaatkan pekebun kecil sawit di negara ini.
- Tidak ketinggalan juga, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir dalam program ini. Semoga program yang kita jalankan hari ini berjalan lancar dan memberi manfaat yang besar kepada semua pihak yang terlibat, terutamanya kepada pekebun kecil sawit yang menjadi teras kepada sektor ini. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga kerja MPOB yang telah bertungkus-lumus dan bekerja keras dalam memastikan majlis ini berlangsung dengan jayanya. Tanpa usaha dan dedikasi anda semua, kejayaan program ini tidak mungkin tercapai. Terima kasih sekali lagi, dan semoga usaha kita hari ini membawa kebaikan dan kejayaan yang berterusan untuk semua.
Wabillahi Taufiq wal Hidayah Wassalamualaikum.
Sekian, terima kasih.