UCAPAN ALU-ALUAN
YBHG. DATUK MOHAMAD HELMY OTHMAN BASHA
PENGERUSI
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA
SEMPENA
MALAM GALA JUBLI PERAK MPOB
JUMAAT, 2 MEI 2025
MARRIOTT PUTRAJAYA INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE
PUTRAJAYA MARRIOTT HOTEL
Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera, Salam Malaysia MADANI.
Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani
Menteri Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Dato’ Yusran Shah Mohd Yusof
Ketua Setiausaha
Kementerian Perladangan dan Komoditi
Yang Berbahagia Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir Ketua Pengarah
Lembaga Minyak Sawit Malaysia
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian dan Ketua-ketua Agensi, Ahli-ahli Lembaga MPOB,
Rakan-rakan Strategik,
Rakan-rakan Media,
Warga MPOB yang dikasihi,
Tuan-tuan dan Puan-puan.
Terlebih dahulu, izinkan saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian meluangkan masa hadir ke Majlis Sambutan Jubli Perak MPOB pada malam yang penuh bersejarah ini. Kehadiran Yang Berhormat Datuk Seri menyerikan lagi sambutan ulang tahun ke-25 MPOB, sekali gus mencerminkan sokongan padu kerajaan terhadap usaha MPOB memajukan industri sawit negara.
- Majlis pada malam ini bukan sekadar simbolik sambutan ulang tahun, tetapi ia adalah manifestasi penghargaan terhadap dedikasi, inovasi dan sumbangan semua pihak serta MPOB dalam memaju dan memperkukuhkan industri sawit sebagai tunggak sektor agrikomoditi negara.
Sidang hadirin yang dihormati,
- Sejak ditubuhkan pada 1 Mei 2000, MPOB telah mengorak langkah sebagai sebuah agensi utama yang menjadi teras pembangunan industri sawit Malaysia. Melalui pendekatan berteraskan sains, teknologi dan inovasi, MPOB terus menyumbang secara signifikan kepada peningkatan daya saing dan kemampanan industri sawit negara di persada global.
- Dari aspek penyelidikan dan pembangunan (R&D), MPOB telah mengkomersialkan lebih 200 teknologi berimpak tinggi dari sektor huluan hingga sektor hiliran merangkumi bioteknologi, pengilangan, biojisim, biodisel, oleokimia dan formulasi produk makanan. Inovasi ini telah menjana nilai pasaran lebih RM5.9 bilion, sekaligus melonjakkan kualiti, produktiviti, kemampanan dan nilai tambah industri sawit negara.
- Antara inovasi dan pencapaian signifikan termasuk penghasilan bahan tanaman unggul Palm Series (PS 1.1) dan Clonal Palm Series (CPS), mesin penuai buah sawit seperti Cantas™ dan Cantaz™ Elektro, serta produk biopestisid mesra alam seperti Walbac, yang terbukti bagi kawalan serangan ulat bungkus di ladang sawit. MPOB juga mempelopori penghasilan produk pemakanan dan kesihatan seperti tokotrienol (vitamin E sawit) dan minyak sawit merah serta produk oleokimia bernilai tinggi yang kini mendapat tempat di pasaran antarabangsa termasuk Amerika Syarikat dan China.
- Dari aspek perluasan pasaran, MPOB turut memainkan peranan penting bersama Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam rundingan perjanjian perdagangan bebas seperti MTFTA (Malaysia– Turkiye), ASEAN–India FTA dan MICECA (Malaysia–India). Jalinan dagang dan diplomatik yang kukuh ini menjadi asas kepada pertumbuhan eksport dan daya tahan industri sawit kita.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Ketika kita meraikan ulang tahun ke-25 MPOB, penting untuk kita mengiktiraf sumbangan penggiat industri termasuk pekebun kecil yang mengusahakan penanaman sawit sebagai nadi industri sawit negara. Kini, lebih 219,000 pekebun kecil sawit persendirian telah berlesen dengan MPOB, mengusahakan lebih 829,000 hektar kebun sawit di seluruh negara. Mereka bukan sekadar pengeluar, tetapi pemangkin utama kepada kemakmuran sektor agrikomoditi.
- Justeru, MPOB terus memperkasakan sektor pekebun kecil melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti khidmat nasihat penanaman sawit dan skim insentif dan bantuan meliputi Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS), penubuhan Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) serta penubuhan Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) bagi Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO). Segala usaha ini adalah untuk memastikan pembangunan komuniti sawit secara inklusif.
Para hadirin sekalian,
- Mengorak langkah ke hadapan, MPOB terus memperkukuh iltizam untuk mendukung aspirasi negara ke arah pembangunan industri sawit yang lebih pintar, mampan dan berdaya saing. Selaras dengan agenda kebangsaan, dalam memperkasa ekonomi hijau dan pendigitalan, MPOB telah melaksanakan pelbagai inisiatif strategik seperti pembangunan biodiesel sawit sebagai sumber tenaga alternatif yang mesra alam dan penghasilan produk oleokimia berasaskan sawit yang memenuhi piawaian hijau dan keperluan pasaran global yang semakin menekankan kemampanan.
- Pelaksanaan sistem digital seperti Sawit Intelligent Management System (SIMS) dan e-Pelesenan MPOB, dapat mempertingkat kecekapan dan memperkemas proses penyampaian perkhidmatan serta ketelusan urus tadbir industri. Manakala pembangunan aplikasi atas talian seperti InfoSawit dan Gano ID membolehkan pemain industri dan pekebun kecil sawit menerima maklumat terkini terus ke hujung jari.
- MPOB turut meningkatkan integrasi sistem bagi pelaporan dan hebahan maklumat industri seperti e-Kilang, e-Peniaga, e-Submission. Pembangunan portal GeoSawit membantu pengurusan ladang menggunakan data geospatial, memperkenal amalan pertanian tepat dan menjana keputusan yang lebih berinformasi. Inisiatif-inisiatif ini mencerminkan komitmen MPOB untuk memastikan bahawa industri sawit Malaysia terus relevan, progresif, mampan dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
- Sepanjang penubuhannya, MPOB telah memainkan peranan penting memperkukuh ekosistem industri sawit negara, dan pada masa yang sama, mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Kejayaan dalam bidang R&D, pemindahan teknologi, inovasi produk dan kecekapan penyampaian membuahkan hasil yang membanggakan.
- Antara pencapaian membanggakan MPOB termasuk penganugerahan Mahathir Science Award 2022, pengiktirafan saintifik berprestij dalam negara. Ini merupakan pengiktirafan terhadap sumbangan MPOB dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang memberikan impak kepada pembangunan dan kesejahteraan negara negara membangun di dunia. MPOB turut menerima Anugerah Majikan Prihatin Peringkat Badan-badan Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan 2019, Merdeka Award 2014, Anugerah Inovasi Penyelidikan Bersama Antara Sektor Awam Dengan Sektor Swasta (AIPB) 2008 & 2001 dan Islamic Development Bank (IDB) Prizes for Science & Technology 2006, membuktikan keupayaan MPOB sebagai peneraju penyelidikan, inovasi, dan pemindahan teknologi dalam industri sawit global.
- Semua pencapaian ini bukan sekadar lambang kejayaan institusi, tetapi juga merupakan cerminan dedikasi, kepakaran dan profesionalisme warga MPOB. Ia harus menjadi pembakar semangat kepada kita semua untuk terus melakar kejayaan yang lebih cemerlang pada masa akan datang.
Hadirin yang dihormati,
- Sempena ulang tahun ke 25, pelbagai program telah dirangka bagi menyemarakkan sambutan Jubli Perak MPOB. Penganjuran Malam Gala Jubli Perak MPOB, pembuka tirai sambutan, yang bukan sahaja meraikan pencapaian MPOB, malah memperkukuh hubungan silaturahim dan kerjasama strategik bersama pihak berkepentingan dalam industri.
- Antara program sambutan yang akan dilaksanakan termasuk Hari Terbuka MPOB yang akan diadakan di Ibu Pejabat dan Stesen Penyelidikan, dan Pertandingan Video Kreatif MPOB. Pada tahun 2025, MPOB juga akan menganjurkan beberapa acara utama seperti Transfer of Technology (TOT 2025) dan MPOB International Palm Oil Congress and Exhibition (PIPOC 2025) yang bakal menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari seluruh dunia. Upacara penutup sambutan Jubli Perak MPOB akan disempurnakan dengan penganjuran Majlis Anugerah Kecemerlangan MPOB 2025 yang akan berlangsung pada penghujung tahun 2025. Majlis berprestij ini bertujuan untuk mengiktiraf pencapaian warga MPOB dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, inovasi, pengkomersialan teknologi, perkhidmatan sokongan, serta kepimpinan.
Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,
- Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri, atas kepimpinan yang teguh serta sokongan berterusan kementerian, barisan pengurusan MPOB yang telah memacu organisasi ini dengan penuh dedikasi dan komitmen, rakan-rakan strategik yang terdiri daripada kementerian, agensi kerajaan, persatuan dalam industri, syarikat swasta, pertubuhan bukan kerajaan serta rakan-rakan media atas jalinan kerjasama dan kepercayaan, serta seluruh warga MPOB, atas sumbangan, dedikasi dan komitmen dalam menjayakan agenda pembangunan industri sawit negara.
- Dengan sokongan semua pihak, MPOB bertekad untuk terus menjadi peneraju pembangunan dan penyelidikan, memperkukuh jaringan global dan membangun ekosistem sawit yang inklusif, mampan dan berdaya saing. Harapan kita bersama agar industri sawit terus menjadi lambang kekuatan dan kemampanan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Sidang hadirin yang saya hormati,
- Sebelum mengakhiri ucapan, sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi atas kesudian hadir dan menyempurnakan Malam Gala Jubli Perak MPOB.
- Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada para penerima anugerah dan penghargaan. Semoga pengiktirafan dan kejayan ini menjadi pemangkin kepada kecemerlangan berterusan industri sawit.
- Sekalung penghargaan juga kepada jawatankuasa penganjur dan semua pihak yang memberikan sokongan dan kerjasama bagi menjayakan majlis yang amat bermakna ini.
Sekian, terima kasih.