SIARAN MEDIA

Untuk Siaran Segera

Harga panduan minyak masak terpakai di portal MPOB sebagai rujukan utama, pertingkat ekonomi kitaran dan permintaan global bahan api lestari

KUALA LUMPUR, 20 Mac 2026 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengesa penggiat industri dan orang ramai melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti jual beli minyak masak terpakai (Used Cooking Oil – UCO), selaras dengan usaha memperkukuh menyokong pembangunan ekonomi kitaran negara.

Bagi menjamin ketelusan transaksi serta memudahkan urusan jual beli UCO, MPOB telah menyedia portal rujukan harga minyak masak terpakai bagi pasaran domestik yang boleh diakses secara percuma oleh semua pihak berkepentingan.

Pelancaran maklumat data harga purata UCO merupakan usaha berterusan Kerajaan melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dalam meningkatkan ketelusan pasaran, memperkukuh mekanisme penemuan harga (price discovery) serta mengurangkan ketidaktentuan dalam rantaian nilai industri sawit di Malaysia.

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, paparan harga rujukan UCO menyedia penanda aras harga yang lebih jelas dan diyakini, seterusnya menyokong pembangunan rantaian bekalan UCO yang lebih telus dan inklusif.

“Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh integriti pasaran UCO domestik, malah sejajar dengan aspirasi Kerajaan dalam memacu ekonomi kitaran, dengan manfaat minyak masak terpakai sebagai bahan mentah bernilai tinggi,” katanya.

Katanya, bekalan UCO kini semakin mendapat perhatian di peringkat global sebagai sumber bahan mentah penting dalam penghasilan produk tenaga lestari seperti biodiesel dan bahan api penerbangan mampan (Sustainable Aviation Fuel – SAF), selain pelbagai produk oleokimia.

“Secara global, permintaan terhadap SAF dijangka meningkat dengan ketara, didorong oleh komitmen industri penerbangan antarabangsa untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang tahun 2050. Menurut unjuran industri, permintaan SAF boleh meningkat lebih 3 hingga 5 kali ganda menjelang 2030, sekali gus melonjakkan keperluan terhadap bahan mentah seperti UCO sebagai sumber karbon rendah yang mampan.

Malaysia mempunyai potensi besar dalam bekalan UCO berikutan penggunaan minyak masak sawit yang tinggi dalam sektor isi rumah dan perkhidmatan makanan seperti perusahaan katering dan peniaga makanan bergoreng.

Bagi isi rumah, pengumpulan UCO bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah berpotensi menjana pendapatan tambahan melalui penjualan UCO kepada pengumpul berlesen berdasarkan harga pasaran semasa.

Dari perspektif industri pula, UCO merupakan sumber bahan mentah strategik dalam penghasilan produk bernilai tambah tinggi yang semakin mendapat permintaan di pasaran global. Peningkatan pelaburan dalam kapasiti biodiesel dan penapisan biobahan api di rantau ini dijangka terus merangsang permintaan terhadap UCO.

Maklumat harga UCO di portal MPOB dapat memberi manfaat kepada isi rumah dan pemain industri melalui:

  • Penyediaan panduan harga semasa UCO yang telus dan diyakini;
  • Pengurangan ketidaktentuan serta risiko manipulasi harga dalam pasaran; dan
  • Galakan kepada pengumpulan serta pengurusan UCO secara lebih sistematik dan bertanggungjawab.

Untuk merujuk harga bulanan UCO, pengguna boleh melayari portal tersebut melalui carian ‘Economics and Industry Development Division’ atau di pautan (https://bepi.mpob.gov.my/) dengan pendaftaran secara percuma. Laporan harga boleh diakses di bawah kategori harga produk sawit (Prices of Palm Products) dalam laporan bulanan.

###

UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
LEMBAGA MINYAK SAWIT MALAYSIA (MPOB)

Printed Publication SPOTME Number of Online Services