BANDAR BARU BANGI, 2 Ogos 2025 – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menganjurkan Hari Terbuka MPOB bersempena dengan ulang tahun ke-25 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Ibu Pejabat MPOB, Bangi dengan pelbagai aktiviti seperti Sawit Run, MPOB Race, Treasure Hunt, Pertandingan Memasak, Pertandingan Mewarna dan Menghias Cupcake, Pertandingan Video Kreatif, serta pelancaran Buku Kompilasi Resepi Masakan Sawit, melibatkan pelbagai lapisan masyarakat serta pelbagai organisasi rakan strategik MPOB.
Bertemakan ‘Industri Sawit Menerajui Kemakmuran Negara’, Pertandingan Video Kreatif MPOB sempena ulang tahun ke-25 MPOB berjaya menarik minat lebih 30 peserta dari seluruh negara sekitar usia 15 hingga 50 tahun.
Semasa Hari Terbuka MPOB, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Hj. Ghulam Kadir telah menobatkan tiga pemenang, lima anugerah sagu hati serta satu penghargaan juri yang dipilih oleh barisan juri dari MPOB serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK). Johan, naib johan dan pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM5,000, RM2,500 dan RM1,500, manakala pemenang sagu hati diberikan RM250 sebagai penghargaan.
Johan pertandingan, Danny Ko Chern Ming, membawa pendekatan video dokumentari yang menyingkap pencapaian industri sawit termasuk dari aspek sumbangan ekomoni, kemampanan serta peranan MPOB dalam ekosistem industri sawit negara.
Mohd Zulhafin Che Noh, naib johan, mengambil pendekatan penceritaan yang menarik yang hampir dengan masyarakat umum dan pemahaman terhadap sektor huluan, hiliran, sumbangan ekonomi pekebun kecil, serta fungsi-fungsi utama MPOB seperti perkhidmatan yang ditawarkan oleh pegawai-pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB.
Di tempat ketiga, Muhd Redzuan Muhammad dari Sekolah Kebangsaan Long Miri, Sarawak, yang menampilkan pendekatan pendedahan kepada murid-murid sekolah terhadapa kesedaran kepentingan industri sawit negara serta kepentingan kemampanan industri bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan generasi pelapis masa hadapan.
Selain itu, Zariwan Iqmar Zainol Abidin terpilih sebagai penerima Anugerah Khas Penghargaan Juri dengan suntingan karya video yang membawakan perspektif unik golongan belia serta generasi pelapis dari Sekolah Menengah Sains Kuala Selangor.
Video-video yang dihasilkan menampilkan pelbagai pendekatan yang unik dan informatif, membincangkan perkembangan serta pencapaian industri sawit negara dari sudut kemampanan industri, penyelidikan, pembangunan dan inovasi, serta pembangunan ekonomi yang disumbangkan oleh industri sawit negara.
Para peserta bebas berkarya melalui pendekatan genre masing-masing termasuk termasuk penceritaan, drama, animasi, dan dokumentari, mencerminkan peranan industri sebagai tunjang utama ekonomi berasaskan agrikomoditi negara, dan MPOB sebagai peneraju dan pusat kecemerlangan dalam bidang R&D, pengkomersialan teknologi, kemampanan pekebun kecil, serta pelesenan dan penguatkuasaan.
Ikuti laman media sosial MPOB untuk tayangan video pemenang-pemenang Pertandingan Video Kreatif MPOB yang akan disiarkan secara berperingkat.