1. Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) menerusi Lembaga Minyak
Sawit Malaysia (MPOB) telah menjalinkan kerjasama selama 18 bulan, sejak
Februari 2025 dalam melaksanakan projek rintis penggunaan biodiesel sawit B20 bagi kenderaan perkhidmatan darat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
2. Jalinan kerjasama ini melibatkan MPOB bersama-sama Petronas Dagangan Berhad, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), dan Syarikat Teras Kembang Sendirian Berhad bagi pelaksanaan penggunaan biodiesel
berasaskan sawit B20 bagi kenderaan dan jentera perkhidmatan darat (Ground Service Equipment – GSE).
3. Kerjasama MPOB dengan ketiga-tiga syarikat tersebut yang masing-masing berperanan sebagai pembekal biodiesel B20, pengoperasi lapangan terbang dan pengurus stesen minyak yang menjual B20 di KLIA dilihat telah
melengkapkan keseluruhan rantaian bekalan biobahan api bagi jentera
perkhidmatan darat di KLIA.
4. Ketika ini, sebanyak lima (5) buah syarikat GSE telah menunjukkan minat untuk menyertai projek rintis tersebut, dengan unjuran penggunaan biodiesel hijau B20 sebanyak 40,000 liter sebulan yang menyumbang kepada pengurangan sehingga 13 peratus pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersamaan 105 tan karbon dioksida setara (CO2e) setahun berbanding minyak diesel konvensional.
5. Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) telah menetapkan
matlamat untuk mencapai pelepasan karbon neutral bagi pengendali syarikat penerbangan antarabangsa menjelang 2050 berbanding tahap pelepasan karbon pada tahun 2021.
6. Selari dengan usaha ini, KPK menerusi MPOB telah giat memperkenalkan
tenaga hijau boleh diperbaharui seperti biodiesel sawit sebagai salah satu
langkah mitigasi yang bermatlamat untuk memberi penekanan kepada
pengurangan pelepasan karbon dalam sektor penerbangan.
7. Kementerian juga telah menetapkan sasaran penggunaan biodiesel sawit B30 di sektor pengangkutan menjelang tahun 2030, yang juga merupakan salah satu indikator dalam Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN2030).
8. Kajian kitar hayat biodiesel juga menunjukkan pengurangan sehingga 70
peratus pelepasan GHG berbanding diesel konvensional. Bahkan, biodiesel
merupakan bahan api bebas sulfur yang mampu mengurangkan 100 tan sulfur dalam atmosfera setiap tahun untuk program B20.
KEMENTERIAN PERLADANGAN DAN KOMODITI
29 MEI 2025